KUALA LUMPUR, 3 JAN – Skuad kebangsaan Malaysia mampu membuka lembaran 2025 dengan kejayaan meraih gelaran Terbuka Malaysia berdasarkan komitmen positif yang dipamerkan setiap pemain, kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.
Malah ‘saingan sihat’ daripada pemain profesional khususnya beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga boleh dijadikan motivasi buat pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Yap Roy King-Wan Muhammad Arif Wan Junaidi untuk memperkukuhkan kedudukan mereka.
“Kepercayaan ini bukan saya letak pada sektor beregu lelaki sahaja tetapi juga kepada Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) yang diharap boleh pergi jauh dengan keyakinan ditunjukkan pada Jelajah Dunia Akhir BWF.
“Selain itu, pemain perseorangan lelaki seperti Leong Jun Hao yang telah berjaya ke final Masters Jepun 2024. Bukan senang sebab dia lawan semua pemain terbaik jadi, kita harapkan dia boleh ulang perkara sama di Terbuka Malaysia nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.
Selain itu, Rexy turut menaruh harapan kepada beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah dapat mempamerkan kecemerlangan mereka kerana undian dilihat berpihak kepada pasangan Malaysia itu.
Sementara itu, Rexy berharap pemain yang beraksi dalam dua kategori dapat membuat pilihan lebih tepat pada penampilan kali ini dan perjumpaan telah diadakan dengan jurulatih berkaitan bagi membincangkan isu berkenaan.
Terbuka Malaysia 2025 akan berlangsung pada 7 hingga 12 Januari di Axiata Arena, Bukit Jalil. – Bernama