Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi penjenamaan semula bagi Skuad Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) untuk dikenali sebagai SATREA iaitu singkatan daripada Special Technical Rescue Assistant.
Pasukan SATREA dirancang untuk dinaik taraf sebagai pasukan Technical Rescue sejajar dengan piawaian National Fire Protection Association (NFFA) dan merupakan langkah peringkat awal untuk pasukan berkenaan dilengkapi dengan keupayaan Urban Search and Rescue (USAR) bertujuan untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa iaitu International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG).
“Dengan pencapaian ini, pasukan kita akan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pasukan-pasukan bomba elit dari negara jiran seperti Disaster Assistance and Rescue Team (DART) dari Singapura dan Special Tactical Operation and Rescue Team (STORM) dari Malaysia.”
Perkara itu dinyatakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman ketika berucap di Majlis Perbarisan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun JBP ke-65 yang berlangsung di Padang Kawad Ibu Pejabat JBP, Landasan Lama Berakas, hari ini.
Untuk memastikan kesiapsiagaan operasi sentiasa berada di tahap yang optimum, JBP, jelas Yang Berhormat Dato, melalui pajakan sewa, sebanyak 30 buah jentera Water Tender Ladder (WRL) sepan-jang kontrak 20 tahun yang mana sekitar Oktober nanti, jabatan berkenaan akan menerima 10 buah jentera berkenaan.

Selain itu, empat buah Light Fire Attack Vehicle (LFAV) juga akan dibekalkan menjelang 2026 iaitu di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-12.
“Perolehan-perolehan ini adalah sangat signifikan dalam mempertingkat keupayaan JBP untuk bertindak pantas, khususnya di kawasan yang mencabar dari segi akses,” jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin.
Beliau turut menghargai komitmen JBP dalam melaksanakan secara berperingkat pembaikan dan penggantian ke atas lebih kurang 700 pili bomba di seluruh negara.
Jabatan berkenaan telah berjaya melaksanakan pembaikan dan penggantian sebanyak 350 pili bomba di seluruh negara pada 2024 dan bagi 2025, sebanyak 350 pili bomba lagi akan dibuat pembaikan dan penggantian yang turut merangkumi kawasan Kampong Ayer.
Projek itu juga melibatkan pendaftaran dan pendigitalan maklumat semua pili bomba melalui sistem tagging, bagi membolehkan lokasi setiap pili dikenal pasti dengan lebih cepat dan tepat.
Yang Berhormat Dato menghargai kerjasama yang sedia ada antara agensi-agensi terutama dalam kalangan agensi kebombaan sama ada dari pihak kerajaan mahupun swasta di negara ini seperti dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Bomba Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Jabatan Penerbangan Awam dan Bomba Hengyi Industries Sdn Bhd, setentunya bertujuan sama membantu usaha di dalam memantapkan tindak balas dan koordinasi bantuan insiden kecemasan secara bersepadu sebagai mendukung konsep pendekatan seluruh negara, Whole of Nation.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin turut menyentuh mengenai usaha memperluas kesedaran keselamatan di peringkat komuniti/akar umbi.
Antara inisiatif penting merupakan program kesedaran yang dirangka untuk mempersiapkan masyarakat kampung sebagai first responder dalam menghadapi sebarang insiden kebakaran.
Melalui program berkenaan, peralatan pemadam api telah disediakan dan ditempatkan di bawah jagaan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, bagi membolehkan tindakan awal dapat diambil dengan lebih pantas dan berkesan.
Penduduk kampung serta pemimpin akar umbi turut diberikan latihan melalui Kursus Lifesaver 995, meliputi pengetahuan asas kecemasan serta kemahiran memadam kebakaran, termasuk penggunaan peralatan pemadaman.