PHNOM PENH, 4 MEI – Hanya sehari selepas menempah slot ke final 50over, skuad kriket lelaki negara Malaysia sekali lagi berpeluang untuk meraih emas, kali ini menerusi acara Twenty20 (T20) di Sukan SEA, hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di AZ Group Cricket Oval itu, pasukan Malaysia mengatasi Thailand dengan lapan wiket, sekali gus menjuarai Kumpulan A dan mara ke penentuan pingat emas menentang juara Kumpulan B, minggu depan.
Malaysia, yang menang undian secara lambungan syiling, memilih untuk memadang dan melakukan 114 larian dalam 12.3 over, manakala lawan mereka menghasilkan 113 larian dalam 20 over.
Kapten pasukan, Ahmad Faiz Mohamad Noor gembira dengan keputusan hari ini terutama dengan ak-si hebat dipamerkan Vijay Unni Suresh, Virandeep Singh dan Syed Aziz Syed Mubarak, meskipun berdepan kesukaran bermain di permukaan padang yang tidak rata.
“Alhamdulillah satu keputusan positif hari ini, saya sangat gembira dengan prestasi dilakar pemain seperti Vijay Unni dan Virandeep yang masing-masing berjaya peroleh dua wiket, manakala Syed Aziz pula berjaya melakukan 55 larian selain dua runouts sepanjang permainan,” katanya.
Pasukan kebangsaan Malaysia merangkul perak dalam acara T20 lelaki ketika kali terakhir kriket dipertandingkan di temasya dwitahunan itu pada edisi Kuala Lumpur 2017. – Bernama