KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Kem lawan pedang Malaysia optimis mampu mencipta kejutan menamatkan penantian lebih satu dekad merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini.
Walaupun sasaran sebenar ditetapkan di Kemboja adalah empat gangsa, jurulatih kebangsaan, Yu Peng Kean tidak menolak kemungkinan Malaysia berpotensi mencapai kejayaan lebih hebat terutama selepas hampir mengakhiri kemarau 12 tahun pingat emas pada edisi lepas di Hanoi, Vietnam.
Menurut bekas atlet kebangsaan, yang pernah membuat penampilan di Sukan Olimpik London 2012 itu, dua atlet senior, Hans Yoong, yang akan beraksi dalam acara foil dan Joshua Koh (epee), yang masing-masing berpangkalan di Amerika Syarikat dan Itali antara yang berpeluang mencipta sensasi.
“Saya rasa mampu (dapat emas) sebab jika dibandingkan dengan Sukan SEA edisi lepas, kita nyaris dapat. Kali ini dengan persiapan yang lebih cukup, saya yakin dengan atlet senior kita seperti Hans Yoong dan Joshua Koh, mereka harapan terbaik dan boleh mencipta kejutan. – Bernama