SEPANG, 2 MEI – Kehadiran empat pemain Liga Super dalam senarai utama skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia memberi keyakinan kepada ketua jurulatih, E. Elavarasan untuk pasukan beraksi cemerlang pada Sukan SEA 2023, di Phnom Penh, Kemboja.
Elavarasan juga yakin meskipun diundi dalam kumpulan ‘maut’ bersama juara bertahan, Vietnam dan naib juara edisi lepas, Thailand, peluang skuad Malaysia memiliki ‘ibu segala emas’ pada temasya dwitahunan itu tetap terbuka memandangkan semua pasukan menampilkan pemain daripada umur yang sama.
Elavarasan berkata empat pemain Liga Super yang bakal menjadi tonggak utama skuad Harimau Muda adalah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan Muhammad Azam Azmi Murad.
Beliau berkata skuad Harimau Muda perlu menanam misi ‘wajib menang’ apabila bertandang ke Stadium Prince, Phnom Penh pada perlawanan pertama menentang Laos bagi saingan Kumpulan B, esok untuk mengutip tiga mata pertama.
Sementara itu, Mohd Nasir optimis kesemua atlet negara telah bersedia sepenuhnya untuk memenuhi sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa di Kemboja.
Skuad Harimau Muda akan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos B-22 esok, diikuti dengan perlawanan menentang Thailand B-22 (6 Mei), Vietnam B-22 (8 Mei) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 (11 Mei).
Kali terakhir Malaysia merangkul emas pada edisi 2011 di Jakarta, apabila menundukkan pasukan tuan rumah, namun gagal mengulangi pencapaian sama pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas tewas kepada Thailand di final. – Bernama