LONDON, 1 OKT – Benfica kendalian Jose Mourinho tewas 1-0 kepada Chelsea apabila gol sendiri Richard Rios mengecam bekas pengurus The Blues sekembalinya ke Stamford Bridge untuk saingan Liga Juara-Juara kelmarin.
Kesilapan mahal Rios pada separuh masa pertama di Stamford Bridge memusnahkan harapan Mourinho untuk menang ke atas kelab yang paling rapat dengannya.
Mourinho dan pemilik ketika itu Roman Abramovich mengubah Chelsea menjadi kuasa besar selepas pelantikannya pada 2004, memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana di antara tujuh trofi utama sepanjang perkhidmatanannya.
Mourinho telah memulakan musim mengendalikan Fenerbahce, yang kemudian dipecat pada Ogos sebelum dia kembali ke bekas kelabnya Benfica bulan ini.
Walaupun Stamford Bridge adalah tempat kegemilangan Mourinho dahulu, ia tidak menjadi tempat memburu yang menggembirakan baginya sejak itu.
Dia gagal memenangi mana-mana daripada tujuh kunjungannya bersama Manchester United, Tottenham dan kini Benfica sejak meninggalkan Chelsea buat kali kedua pada 2015, manakala kejayaan tunggalnya di tempat lawan adalah semasa bersama Inter Milan pada 2010.
Walaupun tewas, Mourinho memuji aksi pertarungan Benfica.
“Kalah tetap kalah tetapi ini boleh menjadi permulaan untuk kami. Ia adalah prestasi yang stabil,” kata Mourinho.”Apabila pasukan bertukar jurulatih pada pertengahan musim, ia adalah kerana keadaan tidak baik. Jadi kami menghadapi beberapa kesukaran tetapi kami hampir mendapat keputusan seri.”
Terdahulu, Mourinho menjangkakan sambutan hangat peminat Chelsea atas kepulangan terbarunya dan ramalan itu terbukti tepat apabila nama Mourinho dilaungkan beberapa kali sepanjang perlawanan oleh penyokong Chelsea.
Benfica bermula dengan serangan hebat apabila percubaan Vangelis Pavlidis memaksa Robert Sanchez untuk menyelamatkan gawang dan disusuli satu lagi percubaan Dodi Lukebakio ditepis ke tepi gawang.
Tetapi Chelsea berjaya mendahului pada minit ke-18 hasil kesilapan Rios apabila Pedro Neto menemui Alejandro Garnacho di dalam kawasan Benfica dan hantaran silangnya menyebabkan Rios tersilap dan melencongkan bola tinggi ke gawang sendiri dari jarak dekat.
Joao Pedro turut dihukum kad merah kerana kekasaran but tinggi kepada Leandro Barreiro pada saat-saat akhir namun tidak dapat menyelamatkan Mourinho daripada kekalahan yang mengecewakan. – AFP


