Tuesday, October 22, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skuad Muay Thai rangkul dua emas

    KUALA LUMPUR, 12 JUN – Pasukan Muay Thai Malaysia cemerlang apabila pulang dengan dua pingat emas, dua perak dan sebutir gangsa bagi kategori bawah 23 tahun dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung di Patras, Greece pada 31 Mei hingga 10 Jun.

    Petarung wanita, Angie Yan Jia Chi yang merupakan juara Piala Dunia 2023 dan Riyadh 2023 World Combat Games, mempertahankan kejuaraan yang diraihnya dalam kategori seni Wai Kru untuk dua tahun berturut-turut selepas muncul Juara Dunia edisi 2023.

    Atlet berusia 19 tahun itu menampilkan aksi hebat di peringkat akhir untuk mengutip 9.45 mata mengatasi pencabar dari Filipina, Alyssa Kylie.

    Asyraf Danial Abdul Latif turut menyumbang emas buat pasukan Malaysia dalam kategori solo lelaki dengan mengutip 9.26 mata mengatasi lawannya juga dari Filipina, LJ Rafael Nasay di final.

    Pada edisi lepas, Asyraf Danial bersama Dariss Muzammil Mahadi menyumbang emas dalam kategori duo Mai Muay lelaki.

    Gambar Freepik

    Pingat perak dimenangi menerusi gandingan Myra Arina Roslan-Jezzevelle Myora dalam kategori seni duo Mai Muay wanita, serta Damia Husna Azian bagi kategori tempur 48kg wanita.

    Nur Amisha Azrilrizal pula gagal mempertahankan kejuaraan bagi kategori 51kg wanita setelah tewas kepada atlet Rusia, Olga Naumkina 27-30 pada pusingan separuh akhir sekali gus terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata beliau amat berpuas hati dengan pencapaian lapan atlet mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia kali ini, sekali gus meletakkan negara itu di ranking ke-11 daripada 93 negara bertanding.

    “Kita guna platform ini sebagai pendedahan untuk Sukan SEA 2025 di Thailand. Kali ini Muaythai Malaysia tidak menghantar ketua pasukan, Rifdean Masdor yang mengalami kecederaan dan sedang dalam persiapan untuk pertarungan di One Championship dan kejohanan lain.

    “Wakil Malaysia, bersama-sama semua pesaing telah dibawa ke tempat lahirnya Sukan Olimpik, iaitu Olympia, Greece sebagai simbolik Muay Thai akan mengadakan demonstrasi pada Sukan Olimpik Paris bulan depan, sebagai usaha awal membawa acara ini ke pentas Olimpik pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda