LONDON, 23 OKT – Chelsea memanfaatkan sepenuhnya kad merah awal yang dikenakan untuk kapten Ajax, Kenneth Taylor untuk membelasah pasukan gergasi Belanda itu 5-1 dalam Liga Juara-Juara di Stamford Bridge kelmarin.
Perjudian Enzo Maresca dalam melakukan 10 pertukaran membuahkan hasil apabila Marc Guiu dan Moises Caicedo meledak jaringan sebelum Enzo Fernandez dan Estevao menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama.
Tyrique George melengkapkan jaringan pada separuh masa kedua kerana buat pertama kali dalam sejarah Liga Juara-Juara tiga pemain remaja menjaringkan gol.
“Kami mempercayai ramai pemain muda,” kata Maresca selepas jaringan Guiu, Estevao dan George. “Itu adalah strategi kelab, bukan sahaja yang kami beli. Juga dari akademi.”
The Blues naik ke tangga ke-11 sementara Ajax kekal berada di tangga terbawah Liga Juara-Juara.
Dengan Chelsea sedang hadapi krisis kecederaan selepas menang Piala Dunia Kelab Julai lalu, Maresca jelas menyasarkan kunjungan Ajax sebagai peluang untuk rehatkan beberapa pemain utamanya.
Bagaimanapun, dia turunkan Fernandez yang pulih daripada kecederaan, Caicedo dan Estevao.
“Ia adalah musim yang sangat mencabar, jadi kami perlu bergilir-gilir, jika tidak, ia rumit untuk main semua perlawanan,” tambah Maresca.
Daripada sepakan percuma selepas kad merah ke atas Taylor, Guiu membalas tandukan Wesley Fofana untuk menghasilkan jaringan dan disusuli jaringan Caicedo yang terkena pertahanan Ajax sebelum masuk ke gawang.
Ajax sempat ditawarkan penalti apabila Tosin Adarabioyo memijak kaki Raul Moro dan Wout Weghorst menyempurnakannya.
Bagaimanapun, Weghorst telah dihukum penalti kerana mengasari Fernandez, yang kemudian disempurnakan unutk menambah kedudukan 3-1.
Estevao turut menyempurnakan satu lagi penalti sebelum Maresca melakukan empat lagi pertukaran untuk memulakan separuh masa kedua dengan Fernandez dan Caicedo antara yang dikeluarkan.
Tyrique George hanya mengambil masa tiga minit dari bangku simpanan dengan penyudah rendah tepat hasil hantaran tumit belakang Andrey Santos, menjadikan keputusan akhir 5-1. – AFP


