KUALA LUMPUR, 26 SEPT – Tekanan menghadapi Piala Sudirman tetap dirasai oleh skuad muda Malaysia di Piala Sudirman yang membuka tirai secara rasmi di Vantaa, Finland hari ini.
Kapten pasukan Lee Zii Jia yang mengakui perkara itu, berkata rakan sepasukan yang rata-rata bakal beraksi buat kali pertama di saingan itu, tiada pilihan selain menerima cabaran itu untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan demi negara.
“Tekanan tetap akan ada, tapi tiada pilihan lain, kita kena tetap terima cabaran ini. Rasa semua rakan sepasukan okey, semua pun sangat seronok masa ini, suasana pun sangat bagus, jadi saya rasa bukan satu masalah yang besar untuk kita semua,” katanya menerusi satu klip video.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D, bakal membuka kempen di kejohanan berpasukan campuran itu menentang England pada 3 petang esok (waktu Malaysia) di Energia Areena, diikuti Mesir pada Selasa dan naib juara Jepun pada Khamis.
Purata pemain Malaysia bagi edisi kali ini berusia 22 tahun, dengan pemain beregu campuran Cheah Yee See, 26, menjadi pemain paling tua.
Juara All England 2021, Zii Jia, 23, yang pernah beraksi pada edisi 2017 dan 2019, berkata beliau tidak mahu membuat rakan sepasukannya lebih tertekan dan menjadi lebih keliru dengan memberikan banyak nasihat, tetapi percaya pihak jurulatih dan pengurusan mampu melaksanakan tanggungjawab itu dengan lebih baik.- Bernama