SHAH ALAM, 15 FEB – Skuad wanita Malaysia mengakhiri saingan Kumpulan Y sebagai naib juara selepas tewas 1-4 kepada Thailand dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini hari ini.
Perseorangan ketiga, Wong Ling Ching menjadi penyumbang mata tunggal buat kem wanita Malaysia selepas menundukkan Pornpicha Choeikeewong, 21-19, 15-21, 21-16 dalam perlawanan berlangsung lebih satu jam.
Thailand memperoleh mata pertama menerusi Supanida Katethong yang menewaskan perseorangan utama Malaysia, Goh Jin Wei 21-13, 26-24.
Malaysia gagal menyamakan kedudukan apabila beregu utama, Pearly Tan-M Thinaah yang beraksi cemerlang pada set pertama dengan menang 22-20, namun terpaksa akur kepada pasangan ke-10 dunia, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 15-21, 19-21.
Thailand semakin selesa dengan kemenangan perseorangan kedua mereka, Busanan Ongbambrungphan 21-17, 21-18 mengatasi K Letshanaa sebelum mata terus ditambah Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard untuk meletakkan lawan di kedudukan lebih selesa menewaskan Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing 21-17, 21-18. – Bernama









