Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Pasukan Bola Lisut (Softball) Wasabi hari ini meninggalkan Negara Brunei Darussalam bagi menyertai Kejuaraan Bola Lisut Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Malaysia.
Sehubungan dengan itu, rombongan yang terdiri daripada 17 orang atlet lelaki telah selamat berlepas meninggalkan negara petang hari ini, diketuai oleh Awang Ibrahim selaku ketua pasukan. Hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyerahkan bendera negara dan mengucapkan selamat berjaya kepada rombongan ialah ahli-ahli keluarga masing-masing.
Ia merupakan penyertaan kali pertama negara bagi kejohanan anjuran UM berkenaan, selaku pasukan jemputan.
Menurut kenyataan Pasukan Wasabi, kejohanan itu akan berlangsung selama empat hari iaitu bermula pada 23 hingga 26 Februari ini di Pusat Sukan UM.
![Barisan pemain Pasukan Wasabi yang bertolak menyertai Kejuaraan Bola Lisut Antarabangsa UM.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/P22-A_23217.jpg)
Menurut Pasukan Wasabi lagi, pada 23 Februari, mereka akan bertanding menentang Pasukan Politeknik dan pusingan kedua akan bertemu dengan Pasukan Aces.
Seterusnya pada 24 Februari, Pasukan Wasabi akan bertanding menentang Pasukan UPSI dan selesai sahaja aksi liga berkenaan, dua pasukan teratas akan bertemu sekali lagi di perlawanan akhir bagi menentukan juara. Sementara pasukan di tempat ketiga dan keempat akan berentap bagi menentukan pemenang tempat ketiga, yang dijadualkan berlangsung pada 25 Februari, manakala penentuan juara kejohanan akan diadakan pada 26 Februari.