Baru-baru ini, semasa berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Begawan, saya tidak dapat menafikan betapa sibuknya kawasan bandar pada waktu siang.
Jalan-jalan utama dipenuhi dengan kenderaan peribadi, teksi, bas persiaran dan lori penghantaran.
Walaupun Bandar Seri Begawan terkenal dengan kebersihan, keamanan dan keindahan seni bina, pengalaman bergerak di bandar ini sebenarnya tidak begitu mudah bagi sesetengah pengguna, terutama mereka yang menggunakan skuter elektrik.
Saya mula perasan penggunaan skuter elektrik semakin popular.
Ramai penduduk, terutama golongan muda, memilih skuter sebagai pilihan utama untuk bergerak ke tempat kerja, membeli-belah atau sekadar bersiar-siar.

Menggunakan skuter memang menjimatkan masa dan kos serta lebih mesra alam berbanding kenderaan bermotor. Namun, kegembiraan ini turut menimbulkan cabaran baharu, terutama dari segi keselamatan di jalan raya.
Yang lagi membimbangkan, ramai pengguna skuter kini menggunakan jalan besar dan jalan utama bandar, bukannya sekadar di kawasan perumahan atau jalan kampung. Saya sendiri melihat beberapa situasi yang agak berisiko, termasuk pengguna skuter memecut di lorong sama bergandingan dengan kereta dan lori besar.
Ada juga yang menyeberang persimpangan tanpa berhenti, membuatkan pejalan kaki dan pemandu lain terkejut. Bagi pelancong dan orang luar bandar yang tidak biasa dengan laluan tempatan, kehadiran skuter ini sudah tentu mengejutkan dan menyukarkan perjalanan mereka.
Beberapa penduduk tempatan turut berkongsi pengalaman mereka. Seorang remaja berkata, “Saya suka guna skuter kerana cepat sampai ke tempat kerja dan tidak perlu risau tentang parkir. Tapi kadang-kadang jalan sesak dan saya rasa sedikit bahaya apabila kenderaan besar datang.”
Sementara itu, seorang pemandu teksi pula mengadu, “Kadang-kadang saya tidak nampak skuter sampai tiba di persimpangan. Jika berlaku kemalangan, ia pasti parah.”
Isu ini menunjukkan bahawa kecenderungan penggunaan skuter di jalan utama memerlukan perhatian serius daripada pihak berkuasa.
Beberapa langkah boleh dipertimbangkan, antaranya menyediakan laluan khas untuk skuter seperti laluan khas ini boleh diletakkan bersebelahan atau di lorong yang kurang sesak bagi memastikan skuter dan kenderaan lain tidak bercampur. Kedua, menetapkan had kelajuan untuk skuter. Ini penting terutamanya di kawasan sibuk dan jalan utama.
Manakala yang ketiga pula, dengan mengadakan kempen kesedaran keselamatan, pengguna skuter, pemandu dan pejalan kaki perlu dididik mengenai peraturan jalan raya dan risiko keselamatan serta yang terakhir penguatkuasaan peraturan yang tegas seperti mengenakan denda atau tindakan undang-undang perlu dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan bagi mengekalkan keselamatan semua pengguna jalan.
Walaupun penggunaan skuter menawarkan kemudahan dan penjimatan masa, keselamatan jalan raya tetap harus menjadi keutamaan.
Jika tiada tindakan diambil, risiko kemalangan tidak dapat dielakkan dan keadaan ini berpotensi memberi kesan negatif bukan sahaja kepada penduduk tetapi juga kepada pelancong yang ingin menikmati keindahan Bandar Seri Begawan dalam suasana yang selamat dan tenteram.
Khairul Amir
