Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Skyroot aerospace kumpul AS$51 juta lancar satelit kecil

    HYDERABAD, INDIA, 6 SEPT – Syarikat permulaan teknologi angkasa Skyroot Aerospace dari India, berjaya mengumpul AS$51 juta dalam pusingan pembiayaan Siri-B yang diketuai oleh GIC, sebuah firma pelaburan global terkemuka.

    Ini merupakan pusingan pembiayaan terbesar dalam sektor Teknologi Angkasa swasta India, yang mengesahkan kekuatan Skyroot dalam teknologi angkasa dan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran satelit kecil antarabangsa.

    Sebagai sebahagian daripada pelaburan itu, Pengarah Urusan GIC India Direct Investment Group, Mayank Rawat akan menyertai Lembaga Pengarah Skyroot.

    “Pusingan ini meletakkan kami di dalam satu trajektori pertumbuhan hiper dengan membiayai kesemua pelancaran awal kami, dan membolehkan membina infrastruktur untuk memenuhi jumlah pelancaran tinggi yang diperlukan oleh pelanggan satelit kami. Matlamat kami adalah untuk menjadi penyedia khidmat pelancaran yang terbaik di dalam kelasnya dan destinasi pilihan bagi pelancaran satelit kecil yang tidak mahal dan boleh dipercayai,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Skyroot, Pawan Kumar Chandana.

    “Kami telah mengesahkan ketiga-tiga teknologi pendorong di dalam kenderaan pelancar angkasa Vikram kami, dan melengkapkan satu ujian jangka masa penuh bagi satu daripada roket berperingkat kami pada Mei 2022. Kami juga merancang mengadakan satu pelancaran demonstrasi pada tahun ini. Pusingan ini akan membantu kami mencapai skala pelancaran satelit komersial sepenuhnya dalam masa satu tahun. Kami telah mula menempah slot muatan untuk pelancaran kami yang akan datang,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Skyroot, Naga Bharath Daka.

    Langkah-langkah kritikal dalam pembangunan kenderaan pelancar angkasa Skyroot telah dicapai. Siri Kenderaan Pelancar Vikram yang paling utama itu dibina secara unik dengan struktur gentian yang 100 peratus karbon, dan boleh melancarkan sehingga 800kg muatan ke Orbit Bumi Rendah.

    Dengan sebuah pasukan teknologi yang kukuh dengan pengalaman kumulatif di dalam industri roket melebihi 1000 tahun, Skyroot membayangkan sebuah dunia di mana penerbangan angkasa adalah tidak mahal, tetap dan boleh dipercayai seperti penerbangan udara. Skyroot ialah syarikat permulaan pertama yang menandatangani MoU dengan ISRO untuk berkongsi kemudahan dan kepakaran.

    Skyroot yang berusia 4 tahun itu telah berjaya membina dan menguji enjin roket berasaskan kriogenik, cecair hipergolik, dan bahan api pepejal yang pertama dibangunkan secara persendirian di India; aktiviti penyelidikan dan pembangunan dan pengeluaran secara meluas yang menggunakan komposit termaju dan teknologi pencetakan 3D. – Bernama

    Pengasas Skyroot, Pawan Kumar Chandana (kanan) dan Naga Bharath Daka. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...