Tuesday, March 25, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Slam, Exists bergabung satu pentas

    KUALA LUMPUR, 23 MAC – Bagi yang membesar mendengar lagu-lagu seperti Gerimis Mengundang, Suci Dalam Debu dan Janji Padamu, bersedialah untuk kembali ke era kegemilangan muzik 90-an pada 26 Julai nanti.

    Buat julung kali dua kumpulan legenda, Slam dan Exists bakal bersatu di pentas konsert istimewa di Megastar Arena di Kuala Lumpur, bagi mengubat rindu para peminat.    

    Lebih daripada sekadar konsert, kolaborasi ini bakal menampilkan perjalanan emosi yang  mengimbas kembali nostalgia zaman kaset, cakera padat dan lagu-lagu yang pernah disenandungkan oleh golongan muda ketika itu.

    Bercakap kepada Bernama, Shah Slam berkata mereka mahu memberikan sesuatu yang istimewa kepada peminat sebagai tanda penghargaan atas sokongan setia sejak awal pembabitan mereka dalam dunia seni.

    “Kami mahu setiap yang hadir merasai kemeriahan dan mengenang kembali nostalgia era kegemilangan kami.  Konsert ini lebih daripada sekadar hiburan tetapi juga tentang perjalanan hidup dan memori bersama-sama peminat,” katanya.

    Shah berkata konsert yang dianjurkan oleh syarikatnya SS Karya Venture dan Republic Mohkmah Records itu merupakan impian yang tertangguh sejak 2018 disebabkan oleh komitmen masing-masing dan juga pandemik COVID-19.

    “Sebenarnya, kita memang sentiasa ada perancangan untuk bergabung, cuma tinggal lagi untuk merealisasikannya. Selepas masing-masing sudah buat konsert solo, saya fikir sudah tiba masa yang baik untuk kami bergabung kerana masing-masing ada tarikan yang tersendiri.

    “Lagipun, kami (kedua-dua kumpulan) lahir dalam era dan tahun yang sama dan lagu-lagu kami juga kebanyakannya daripada komposer sama. Sejak dulu, kami rapat seperti adik-beradik,” katanya.

    Ditanya tentang sambutan peminat terhadap konsert tersebut, pemain gitar utama Slam itu bersyukur kerana hampir separuh daripada tiket konsert telah terjual.

    “Alhamdulillah, sambutan setakat ini sangat baik walaupun poster serta promo rasmi belum siap, dan sidang media hanya akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya sambil menambah bahawa konsert itu tidak mendapat sebarang tajaan.  

    Shah yang juga pengarah konsert berkenaan, berkata mereka masih membincangkan lagu-lagu yang akan dipersembahkan pada konsert tersebut.

    “Setakat perbincangan awal, konsert itu akan dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk segmen yang menggabungkan kedua-dua kumpulan. Apa yang boleh saya janjikan, peminat yang hadir akan terhibur sepanjang konsert itu,” katanya, menambah mereka belum mempunyai perancangan untuk memanggil artis jemputan. – Bernama

    Kumpulan Slam dalam satu sidang media di sebuah hotel pada Februari lalu. Slam bakal bergabung satu pentas dengan Exists. –  Gambar fail Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda