Kumpulan popular 90an Slam mengaku teruja dapat berkolaborasi dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) buat pertama kali menerusi sebuah konsert yang akan berlangsung di pentas berprestij Dewan Fil-harmonik Petronas (DFP), di sini pada 22 Februari ini.
Pemain gitar utama Shah berkata mereka tidak menyangka dapat tawaran bergandingan dengan MPO di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose itu kerana lagu-lagu Slam berentak balada.
“Kali terakhir kami buat konsert bersama orkestra penuh adalah pada 1996 menerusi konsert unplugged, tetapi pemuziknya tidak seramai ini.
“Apabila MPO buka kepada Slam untuk buat persembahan bersama, ia satu penghormatan buat kami. Saya ada pengalaman bermain bersama MPO pada persembahan lain, memang tidak disangkal lagi kualiti (persembahan) mereka,” katanya pada sidang media konsert Slam Bersama MPO, di sini hari ini.
Kumpulan berusia lebih 30 tahun yang turut dianggotai oleh Lili, Eddie, Man dan Zamani itu juga berjanji akan memberikan persembahan istimewa, lebih segar dan berbeza buat peminat mereka di konsert tersebut.
Sementara itu, Zamani berkata beliau berasa sedikit gerun apabila mendengar audio gubahan lagu-lagu Slam dalam versi orkestra.
“Saya dengar sesuatu yang sangat luar biasa dengan iringan orkestra keseluruhan (lagu bunyinya) lain. Saya perlu berusaha lebih, macam mana nak persembahkan (lagu) dan pastikan kita boleh bawa konsert ini,” kata vokalis Slam itu.
Sementara itu, menyifatkan kerjasama MPO dan Slam sebagai satu peluang yang dinanti-nantikan oleh orkestra tersebut, Ahmad Muriz berkata beliau teruja apabila mendengar lagu-lagu kumpulan Slam dalam versi orkestra. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P18-4A_11022025.jpg)