Oleh Raz AS –
Super light jigging (SLJ) merupakan salah satu teknik memancing moden yang semakin popular di kalangan kaki pancing, terutamanya di kalangan generasi muda yang gemar akan cabaran serta kelengkapan memancing yang ringan dan versatil.
Berasal dari kaedah jigging konvensional yang lebih berat dan memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi, SLJ pula menawarkan pengalaman memancing yang lebih santai, tetapi masih mencabar dan menyeronokkan.
Teknik SLJ menggunakan jig atau umpan tiruan yang sangat ringan, kebiasaannya antara berat 5 hingga 40 gram, serta set pancing yang bersesuaian dari segi saiz dan kekuatan.
Salah satu keunikan teknik SLJ adalah kelengkapan yang digunakan. Joran yang direka khas untuk SLJ biasanya mempunyai aksi yang sangat sensitif dan ringan. Panjang joran ini biasanya sekitar 6 hingga 7 kaki dan direka untuk mengendalikan jig ringan dengan kecekapan tinggi. Kekuatan joran pula berada dalam kelas ringan, iaitu sekitar PE 0.4 hingga PE 1.0
Pilihan reel selalunya adalah daripada jenis spinning dengan gear ratio yang agak tinggi, membolehkan jig dihenjut dengan laju bagi menarik perhatian ikan pemangsa. Tetapi penggunaan jenis baitcasting juga turut biasa digunakan.
Teknik SLJ memerlukan penggunaan tali utama yang sangat halus, biasanya daripada jenis tali sulam (braided) berdiameter kecil, contohnya 6 lb hingga 15 lb, bergantung kepada lokasi dan spesies sasaran.
Tali perambut pula lazimnya diperbuat daripada fluorocarbon untuk memberikan persembahan yang lebih semula jadi di dalam air serta tahan geseran ketika berhadapan dengan struktur seperti batu karang atau reba. Ketelusan fluorocarbon menjadikannya sukar dilihat ikan, sekali gus meningkatkan peluang strike.
Pergerakan jig memainkan peranan penting dalam teknik ini. Jig yang digunakan biasanya berbentuk kecil dan panjang (long jig) atau lebar dan rata (slow jig), dan kedua-duanya memberikan aksi berbeza ketika dihenjut.
Jig perlu dimainkan dengan teknik tertentu bagi meniru pergerakan ikan yang sedang cedera atau terkejut. Teknik henjutan boleh dilakukan dengan perlahan atau laju, bergantung kepada jenis jig dan keaktifan ikan pada hari tersebut. Pemancing yang berpengalaman biasanya akan mencuba pelbagai rentak henjutan bagi menentukan mana satu yang paling efektif ketika itu.
Kawasan pilihan untuk melakukan SLJ sangat pelbagai. Teknik ini boleh diaplikasikan di kawasan pesisir pantai, unjam, kawasan berbatu, kapal karam, serta spot-spot jigging ringan di sekitar pulau.
Bergantung pada berat jig yang digunakan secara amnya perairan cetek merupakan lokasi yang ideal bagi teknik ini. Ini kerana jig ringan lebih mudah dikawal dan dimainkan di kawasan berarus sederhana serta kedalaman sederhana.
Salah satu kelebihan utama SLJ ialah pengalaman memancing yang lebih interaktif.
Disebabkan penggunaan joran dan kekili ringan, setiap sambaran ikan dapat dirasai dengan jelas, memberikan kepuasan yang tidak ternilai.
Walaupun peralatan ringan digunakan, pemancing yang mahir mampu menaikkan ikan yang bersaiz besar, asalkan teknik mengawal drag dan tali dilakukan dengan cermat dan sabar. Teknik ini mengajar pemancing untuk lebih memahami perilaku ikan dan pentingnya kesabaran serta kemahiran teknikal dalam pancingan.
Dari segi kos, SLJ dilihat lebih mampu milik berbanding jigging berat (heavy jigging).
Peralatan SLJ biasanya lebih murah, lebih ringan dan mudah dibawa ke mana-mana, menjadikannya ideal untuk pemancing rekreasi atau mereka yang ingin mencuba teknik jigging tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.
Namun begitu, pemilihan peralatan masih perlu dibuat dengan teliti untuk memastikan kualiti dan ketahanan, lebih-lebih lagi jika ingin menggunakannya di lokasi yang mencabar.
SLJ merupakan satu cabang memancing yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memberikan ruang kepada pemancing untuk meningkatkan kemahiran serta memahami teknik permainan jig yang betul.
Dengan peralatan yang betul dan lokasi yang sesuai, teknik ini mampu memberikan hasil tangkapan yang memuaskan, malah kadangkala mengejutkan. Sama ada awda seorang pemancing baru yang ingin mencuba sesuatu yang moden dan mencabar, atau pemancing berpengalaman yang ingin mengubah angin daripada teknik konvensional, SLJ adalah pilihan yang sangat baik.