Oleh Raz AS –
Dalam dunia pancingan laut, dua teknik yang semakin popular dan sering menjadi perbincangan antara pemancing adalah super light jigging (SLJ) dan slow pitch jigging (SPJ). Walaupun kedua-dua teknik ini menggunakan umpan berbentuk jig, cara pengendalian dan psikologi serangan ikan yang tertarik dengan umpan tersebut adalah berbeza.
SLJ atau kadang-kadang juga dikenali sebagai microjigging adalah teknik yang menggunakan jig kecil, biasanya seberat 20 gram hingga 80 gram, yang dibuang ke dasar laut dan ditarik dengan gerakan pantas yang menyerupai pergerakan mangsa yang melarikan diri.
Teknik ini lebih sesuai untuk memancing ikan-ikan kecil hingga sederhana yang menghuni dasar laut, meskipun begitu kadang-kadang ikan bersaiz besar juga tidak segan silu menyambar jig kecil yang dipersembahkan.
SPJ pula sebaliknya menggunakan jig yang lebih besar dan berat yang dioperasikan dengan cara yang lebih perlahan dan terkawal, mengundang reaksi lebih perlahan daripada ikan yang bersembunyi di dasar laut.
Gerakan yang lebih lembut dan perlahan ini sering kali menyimulasikan pergerakan mangsa yang lebih besar, seperti sotong atau ikan yang tercedera, yang merupakan makanan utama bagi ikan pemangsa besar.


Salah satu perbezaan utama antara kedua teknik ini adalah kelajuan gerakan jig. Dalam SLJ, jig bergerak dengan pantas, berulang-alik dengan menggunakan teknik mengangkat dan menurunkan atau menghenjut joran secara cepat. Kecepatan ini sering kali menarik perhatian ikan yang lebih aktif dan agresif, memacu naluri pemangsa untuk menyerang mangsa yang bergerak pantas seakan-akan melarikan diri.
Berbanding dengan SPJ pula, yang melibatkan pergerakan lebih perlahan, teknik SPJ menarik perhatian ikan yang lebih berhati-hati dan suka bersembunyi, seperti di celah-celah batu karang atau terumbu yang lebih dalam. Gerakan perlahan jig yang naik dan turun secara fluttering seakan santapan yang tersedia dan mudah, menarik minat ikan yang lapar untuk menyambarnya.
Psikologi serangan ikan memainkan peranan penting dalam memilih teknik yang betul.
Serangan ikan pemangsa biasanya berdasarkan beberapa faktor seperti pergerakan mangsa, ketersediaan makanan dan spesies.
Ada ketikanya ikan bersifat lebih pasif dan berhati-hati, manakala ada ketikanya pula ikan lebih agresif dan cenderung menyerang mangsa yang bergerak cepat.
Pemilihan teknik pancingan ini bergantung juga kepada faktor seperti spesies sasaran, waktu dan lokasi. Dalam sesetengah situasi, ikan yang suka bersembunyi lebih cenderung menyerang umpan yang disajikan dengan persembahan cara perlahan seperti dalam teknik SPJ.
Sebaliknya, ikan yang lebih aktif, terutamanya di kawasan yang lebih cetek dan terbuka, lebih cenderung bertindak balas terhadap gerakan pantas yang dilakukan dalam SLJ.
Oleh itu, mengetahui lokasi dan masa yang tepat untuk menerapkan teknik ini sangat penting untuk meningkatkan peluang awda menarik ikan.
Kedua-dua teknik ini turut dipengaruhi oleh peralatan yang digunakan. Dalam SLJ, pemancing biasanya menggunakan joran yang lebih pendek dan ringan, yang membolehkan mereka mengawal jig dengan pantas dan lebih tepat. Begitu juga dengan reel, yang lebih ringan dan mudah dikendalikan seperti jenis spinning. Meskipun begitu reel jenis baitcast atau overhead juga boleh digunakan.
Dalam SPJ, joran yang digunakan biasanya lebih panjang untuk membolehkan pemancing mengawal pergerakan jig secara lebih perlahan dan terkawal. Pemilihan reel pula selalunya daripada jenis overhead berkelajuan tinggi tanpa line guide dengan ruang spool tali yang sempit tetapi dalam. Walaupun begitu reel jenis spinning dan overhead dengan line guide atau baitcast juga boleh digunakan.
Pemilihan antara SLJ dan SPJ adalah terpulang kepada keperluan, keadaan persekitaran dan jenis ikan sasaran. Kedua-dua teknik ini menawarkan kelebihan masing-masing, dan yang paling penting adalah kemampuan pemancing untuk menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan air serta memahami psikologi ikan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.
Oleh itu, mempelajari kedua-dua teknik ini dan menguasainya akan memberikan lebih banyak pilihan dan peluang kepada pemancing untuk memaksimumkan hasil pancingan mereka. Dengan memahami psikologi serangan ikan mengikut situasi, menjadikan setiap pancingan lebih berjaya dan memuaskan.
