LONDON, 16 MAC – Liverpool berpeluang meraih trofi pertama di bawah kendalian Arne Slot pada final Piala Liga hari ini menentang Newcastle, yang bertekad menamatkan penantian 56 tahun untuk trofi utama.
Dalam final pertama musim domestik England, pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menuju ke Wembley dengan matlamat untuk melupakan kekecewaan selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara kepada Paris Saint-Germain pada Selasa.
The Reds tewas 4-1 menerusi penentuan penalti kepada PSG dalam aksi kedua pusingan 16 terakhir di Anfield, satu tamparan yang hebat dalam musim pertama yang cemerlang bagi Slot sejak menggantikan Jurgen Klopp selepas berpindah dari Feyenoord tahun lalu.
Liverpool kini 15 mata di puncak Liga Perdana dan semakin hampir untuk menyamai rekod kejuaraan liga ke-20 mereka, serta kejuaraan pertama sejak 2020.
Namun sebelum itu, pengurus dari Belanda itu mahu menambah satu lagi trofi Piala Liga ke dalam koleksi di Anfield.

Liverpool, yang menewaskan Chelsea dalam final musim lalu, telah memenangi Piala Liga sebanyak 10 kali – rekod tertinggi dalam sejarah kejohanan – dan berhasrat untuk menjulang trofi itu buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.
“Kami bermain dalam perlawanan seperti ini untuk menang, dan itulah yang akan kami cuba lakukan,” kata Slot, yang terpaksa beraksi tanpa bek kanan utama, Trent Alexander-Arnold, akibat kecederaan.
“Kami sangat menantikan perlawanan ini kerana awda tidak boleh mengambil mudah peluang untuk berada dalam final, terutama di negara ini yang penuh dengan pasukan hebat.”
Slot, yang bakal mengunjungi Wembley buat kali pertama, berharap Liverpool dapat segera bangkit selepas impian meraih treble mereka musnah di tangan PSG.
“Ia adalah satu perlawanan yang hebat untuk dimainkan, terutama selepas kekalahan kepada Paris Saint-Germain. Mungkin ini adalah perlawanan yang sempurna,” katanya.
Newcastle telah berubah daripada pasukan yang bergelut di zon penyingkiran kepada pencabar kejuaraan, dengan kemunculan mereka dalam Liga Juara-Juara 2023-24 menjadi bukti kebangkitan mereka. – AFP