Slot solat Jumaat perlu ditempah, acara ikut panduan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Sempena bermulanya Fasa Peralihan pada Jumaat, 19 November ini, solat fardu lima waktu dan solat fardu Jumaat akan dilaksanakan di masjid-masjid di seluruh negara, dengan solat Jumaat perlu melalui tempahan slot di aplikasi BruHealth.

Sehubungan itu orang ramai boleh mula membuat tempahan slot solat fardu Jumaat pada 17 November, jam 9 pagi dengan tatacaranya sama seperti yang telah dipraktikkan pada tahun lepas. Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) memaklumkan mengenainya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya, ia adalah susulan pengumuman baru-baru ini di mana pada fasa tersebut, masjid-masjid akan dibukakan untuk sembahyang fardu dan sembahyang fardu Jumaat dengan kapasiti mengikut kesesuaian setiap masjid dan penjarakan sekurang-kurangnya satu saiz tikar sembahyang di antara jemaah.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai bahawa hanya mereka yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning dan telah melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19 dibenarkan untuk memasuki masjid, surau dan balai ibadat.

Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan mengenai pengendalian acara semasa di Fasa Peralihan nanti.

“Pihak berkenaan di kementerian-kementerian, pejabat-pejabat dan swasta serta orang ramai yang ingin mengendalikan sebarang acara semasa Fasa Peralihan boleh mendapatkan garis panduan bagi pengendalian acara-acara dan pembukaan premis-premis di laman web Jabatan Perdana Menteri (JPM),” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Mereka boleh melayari laman web JPM di http://www.pmo.gov.bn/SitePages/Garispanduan%20Fasa%20Peralihan%20Semasa%20Covid-19.aspx.

Beliau turut menjelaskan bahawa penganjur acara atau orang ramai tidak perlu membuat permohonan ke Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan kebenaran untuk mengendalikan acara-acara berkenaan.