Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Slot terbuka rekrut ‘pemain tepat’

    LONDON, 29 OGOS – Pengurus Liverpool, Arne Slot, menyatakan dia masih terbuka untuk membawa masuk ‘pemain yang tepat’ ketika prospek Newcastle melepaskan Alexander Isak dilihat semakin meningkat, kelmarin.

    The Reds dilaporkan sudah membuat tawaran bernilai £110 juta untuk penyerang Sweden berusia 25 tahun itu namun ditolak, tetapi Isak kekal bertekad untuk meninggalkan kelab dan kini berlatih bersendirian.

    Newcastle pula dilaporkan semakin hampir menandatangani penyerang Stuttgart, Nick Woltemade, sesuatu yang boleh membuatkan mereka lebih bersedia menerima tawaran bagi Isak menjelang penutupan jendela perpindahan musim panas ini.

    Slot tidak menolak kemungkinan juara Liga Perdana Inggeris itu kembali aktif di pasaran perpindahan sebelum tarikh tutup Isnin depan, ketika dia bercakap kepada media hari ini menjelang pertemuan menentang Arsenal, Ahad ini.

    “Kami cuba menandatangani pemain yang boleh membantu kami, tetapi tiada sebab selepas dua perlawanan pertama untuk merungut atau berfikir kami perlukan lebih ramai pemain,” katanya.

    “Jika kami boleh memperkukuh pasukan, kami akan sentiasa cuba melakukannya, jika dengan harga yang betul dan pemain yang betul dan kini hanya tinggal tiga atau empat hari sahaja lagi. Mari kita lihat sama ada kami akan lakukan sesuatu dan jika ya, apa yang boleh kami lakukan.” – AFP

    Arne Slot bertepuk tangan menghargai penyokong selepas perlawanan menentang Bournemouth.– AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda