Tuesday, December 10, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Slot vaksinasi ditambah mulai esok

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Dalam usaha pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mempercepatkan peningkatan kadar vaksinasi supaya mencapai sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk di negara ini melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sebelum penghujung 2021, Kementerian Kesihatan akan menambah slot vaksinasi di kesemua pusat vaksinasi.

    Bermula 5 Oktober ini, Program Vaksinasi Kebangsaan akan menambah sebanyak 2,500 dos suntikan vaksin COVID-19 setiap hari.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    “Perkhidmatan ini adalah bagi semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam termasuk golongan warga emas, ibu-ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU) kecuali kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

    Menurut beliau, keutamaan diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah untuk menempah slot vaksinasi dos pertama melalui aplikasi BruHealth.

    Slot vaksinasi di pusat-pusat vaksinasi termasuk di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah akan ditambah bermula 5 Oktober ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Perkhidmatan tersebut hanya diberikan secara tempahan yang boleh dilakukan melalui aplikasi WhatsApp sahaja ke nombor-nombor mengikuti slot iaitu slot 8 pagi hingga 12 tengah hari di talian 7460025; slot 12 tengah hari hingga 4 petang (7460026) dan slot pukul 4 petang hingga 8 malam (7460027).

    Waktu membuat tempahan tersebut akan bermula esok (4 Oktober) dan waktu operasi bagi menerima tempahan adalah pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu, pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.

    “Tempahan yang berjaya dibuat akan menerima pesanan ringkas (SMS) dari Kementerian Kesihatan dalam tempoh 24 jam dari hari membuat tempahan.

    “Maklumat yang diperlukan semasa membuat tempahan slot adalah nama penuh; nombor kad pintar; nombor BruHIMS (jika ada) dan nombor telefon untuk mudah dihubungi,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Menurutnya lagi, mana-mana individu yang tidak mempunyai BruHealth atau BruHIMS semasa membuat tempahan, mereka akan diaturkan untuk mendapatkan vaksinasi di empat buah pusat vaksinasi di mana mereka juga akan dikehendaki untuk menjalani ujian swab ART sebelum divaksinasi.

    Waktu operasi bagi perkhidmatan vaksinasi slot-slot tambahan bagi Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup adalah Isnin hingga Sabtu dari 8 pagi hingga 8 malam dan Ahad dari 8 pagi hingga 2 petang di mana ujian swab ART akan dijalankan bagi yang tidak mempunyai BruHealth dan BruHIMS;

    Pusat Vaksinasi Pusat Kesihatan Jubli Emas Bunut pula beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 2 petang hingga 3 petang di mana tiada ujian swab ART disediakan maka dimestikan mempunyai BruHealth dan BruHIMS jika menempah di pusat vaksinasi berkenaan.

    Pusat Vaksinasi Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8 pagi hingga 4:30 petang di mana tiada ujian swab ART akan dijalankan maka dimestikan mempunyai BruHealth dan BruHIMS.

    Pusat Vaksinasi Pusat Perkembangan dan Pembelajaran, Hospital Suri Seri Begawan pula beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8 pagi hingga 8 malam serta Ahad dari 8 pagi hingga 2 petang di mana ujian swab ART juga akan dijalankan.

    Pusat Vaksinasi Dewan Kemasya-rakatan Belalong, Temburong beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8:15 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:45 petang hingga 3:30 petang di mana ujian swab ART juga akan dijalankan.

    Sementara itu, Pusat Vaksinasi Dewan Seri Kenangan, Pekan Tutong beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8 pagi hingga 6 petang dengan ujian swab ART akan dijalankan bagi yang tidak mempunyai BruHealth dan BruHIMS.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda