Slovakia buat saringan COVID-19 secara percuma

BRATISLAVA, 18 OKT – Perdana Menteri Slovakia, Igor Matovic mengumumkan negara itu akan membuat ujian saringan COVID-19 kepada seluruh penduduknya yang berusia 10 tahun ke atas, ketika jangkitan pandemik itu semakin meningkat.

“Ujian akan dilakukan secara percuma kepada 5.4 juta penduduk. Jika kita boleh melakukannya, ia boleh menjadi contoh kepada seluruh dunia,” katanya tanpa menjelaskan sama ada satu kewajipan atau sukarela.

Projek pertama langkah itu akan dilaksanakan di kawasan tertentu dan dijadualkan berlangsung pada minggu depan sementara saringan sepenuhnya akan berlangsung pada akhir bulan ini dan awal November.

Kerajaan mengisytiharkan negara itu dalam keadaan darurat bulan lalu selepas peningkatan jangkitan dan kematian akibat COVID-19, selain melaksanakan sekatan baharu minggu ini.

Sistem persekolahan juga berubah kepada pengajaran dalam talian dengan semua acara termasuk upacara di gereja dilarang, pusat kecergasan dan kolam renang ditutup manakala restoran hanya dibenarkan menghidangkan makanan bawa pulang sahaja. Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan hampir 2,000 kes baharu COVID-19 direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 28,000 kes dan 82 kematian.

Sabtu lalu, kira-kira 500 orang berkumpul di luar bangunan kerajaan di pusat bandar Bratislava untuk melakukan bantahan terhadap sekatan antivirus terbaharu, walaupun terdapat larangan berhimpun melebihi enam orang.

Dengan kebanyakan para penunjuk perasaan tidak memakai penutup mulut dan hidung, mereka telah menggesa Matovic supaya meletak jawatan. – AFP

Matovic dilihat selepas sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Bangunan Majlis Eropah di Brussels, pada 16 Oktober lalu.Matovic mengumumkan negara itu akan membuat ujian saringan COVID-19 kepada seluruh penduduknya yang berusia 10 tahun ke atas. – AFP