BRATISLAVA, 1 Julai – Sebagai pengeluar kereta per kapita terbesar di dunia, Slovakia akan terjejas paling teruk sekiranya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif 20 peratus ke atas kereta yang diimport dari Kesatuan Eropah (EU), kata penganalisis.
Tindakan Trump itu merupakan serangan terbaharu dalam perang perdagangan yang melihat EU mengenakan duti ke atas seluar jean dan motosikal buatan AS sebagai respons terhadap tarif AS yang dikenakan ke atas eksport keluli dan aluminium Eropah.
Gambaran tarif AS yang mendorong saham dalam Fiat Chrsyler, Daimler dan BMW merosot di bursa saham Eropah juga ditakuti mengancam sektor kereta Slovakia. Ia mempunyai jenama Jerman Volkswagen, yang merupakan majikan sektor swasta terbesar Slovakia, PSA dari Perancis dan Kia dari Korea Selatan di samping lebih daripada 300 syarikat bekalan kereta. Pada keseluruhannya, mereka memberikan lebih 200,000 pekerjaan di zon Eropah yang terdiri daripada 5.4 juta penduduk. Jaguar Land Rover juga akan membuka sebuah kilang baharu pada September ini.
Ia menjadikan Slovakia pengeksport kereta dan alat ganti kereta terkemuka EU ke AS dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan paling mudah terjejas akibat tarif itu.

“Nisbah eksport kereta luar negara berbanding KDNK Slovakia adalah yang tertinggi di antara kesemua negara EU, dengan pertambahan kepada 1.7 peratus,” kata Institut Dasar Kewangan Slovakia (IFP) dalam satu kajian.
“Satu kenaikan dalam duti kastam ke atas import kereta akan mempunyai kesan terbesar ke atas Slovakia,” katanya.
Sebagai satu-satunya pengeluar kereta Slovakia yang mengeksport secara langsung ke AS, Volkswagen, dan kebanyakan pembekal tempatannya, akan terjejas paling teruk sekiranya tarif AS dikenakan ke atas model mewah Touareg, Audi Q7 dan Porsche Cayenne yang dikeluarkan di kilangnya di Bratislava. – AFP