BRATISLAVA, 28 Feb – Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, kelmarin berkata kerajaan negara itu menawarkan ganjaran sebanyak satu juta euro (AS$1.2 juta) kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat berkaitan pembunuhan wartawan penyiasat, Jan Kuciak, lapor agensi berita China Xinhua.
Kuciak, 27, yang bertugas dengan laman sesawang berita Aktuality, dipercayai sedang menyiapkan satu artikel berkaitan penipuan cukai ketika beliau ditembak mati bersama teman wanitanya di Velka Maca, yang terletak di barat Slovakia.
“Jika kematian Kuciak mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai wartawan penyiasat, ia adalah satu serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap kebebasan akhbar dan demokrasi di Slovakia,” kata Fico.
Dia berkata pembunuhan kedua-dua mangsa tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat Slovakia.
Sementara itu, Presiden Kor Polis Slovakia, Tibor Gaspar, memaklumkan sidang akhbar pada Isnin bahawa pembunuhan Kuciak berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai seorang wartawan.

Kuciak adalah wartawan kelima yang dibunuh di Kesatuan Eropah sejak sedekad lepas, kata Wartawan Tanpa Sempadan, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bukan untung yang memperjuangkan kebebasan akhbar.
Sementara itu, AFP melaporkan sebelum pembunuhan Kuciak, dia sedang membuat penyelidikan tentang kumpulan Mafia Itali di Slovakia, menurut berita portal yang dibuatnya.
“Dua orang daripada kalangan lelaki yang datang ke Slovakia sebagai orang yang dituduh dalam kes mafia di Itali mendapat akses setiap hari kepada perdana menteri negara itu,” tulis Kuciak dalam artikel yang berjudul ‘Mafia Itali di Slovakia. Masuk ke Dalam Politik’.
“Orang Itali terikat dengan mafia telah menemui rumah kedua di Slovakia. Mereka memulakan perniagaan, menerima subsidi, menarik dana Kesatuan Eropah (EU), terutama sekali membina hubungan dengan orang berpengaruh dalam politik,” tambahnya. – Bernama/AFP