LJUBLJANA, 29 SEPT – Slovenia hari ini menggantung sementara vaksinasi Johnson & Johnson (J&J) selepas seorang wanita berusia 20 tahun meninggal dunia akibat pendarahan otak dan darah beku beberapa hari selepas menerima suntikan vaksin tersebut.
“Kementerian kesihatan telah menggesa Institut Kesihatan Awam supaya menggantung sementara vaksinasi dengan vaksin Janssen sehingga semua butir-butir berkaitan kes ini diselesaikan,” beritahu Menteri Kesihatan, Janez Poklukar pada sidang media di Ljubljana, menggunakan nama lain untuk vaksin berkenaan.
Pakar yang menasihat kerajaan menyarankan penggantungan selepas mendapat tahu ‘mungkin timbulnya kaitan di antara kematian dan vaksinasi,’ kata Bojana Beovic, yang mengetuai kumpulan pakar kesihatan.
Media melaporkan wanita itu telah dimasukkan ke hospital pada Isnin dalam keadaan serius, hanya beberapa hari setelah menerima suntikan vaksin J&J.
Satu kematian telah pun disahkan sebagai berkaitan dengan vaksin J&J di Slovenia, di mana lebih daripada 120,000 orang telah divaksin.
Kira-kira 47 peratus daripada dua juta populasi negara Alp itu telah menerima dos lengkap vaksin, salah satu yang paling rendah di Kesatuan Eropah.
Dalam usaha untuk menambah jumlah, kerajaan mengumumkan pada awal bulan ini bahawa semua kakitangan awam perlu menerima suntikan vaksin atau sembuh daripada COVID-19 untuk membolehkan mereka terus bekerja mulai 1 Oktober.
Permintaan untuk vaksin J&J telah meningkat sejak beberapa minggu lalu disebabkan ia merupakan satu-satunya vaksin yang tidak memerlukan dua dos suntikan. – AFP
