LJUBLJANA, 17 JAN – Loji nuklear tunggal Slovenia telah diberikan kelulusan alam sekitar dan keselamatan yang diperlukan untuk melanjutkan opera-sinya sehingga 2043, kata kerajaan baru-baru ini.
“Memandangkan kemungkinan (krisis tenaga) musim sejuk akan datang, adalah sangat penting bahawa loji Krsko tidak ditutup menjelang akhir tahun ini tetapi akan memenuhi semua keperluan untuk terus beroperasi,” kata Menteri Infrastruktur, Bojan Kumer dalam sidang akhbar. Loji nuklear Krsko, dibina pada tahun 1983 dan terletak 100 kilometer timur ibu kota Ljubljana yang berhampiran dengan sempadan Croatia, telah dijadualkan untuk dimatikan pada tahun depan.
Tetapi Slovenia dan pemilik bersama, Croatia memutuskan pada 2015 untuk melanjutkan hayatnya selama 20 tahun lagi, lama sebelum perang di Ukraine dan sekatan Kesatuan Eropah (EU) ke atas Rusia telah mencetuskan kebimbangan bekalan tenaga di seluruh benua berkenaan.
Rakan negara EU, Belgium dan Jerman telah memutuskan baru-baru ini untuk melanjutkan hayat loji kuasa nuklear mereka untuk menangani krisis tenaga semasa dengan lebih baik.
Kumpulan aktivis termasuk Greenpeace telah menuntut operasi loji itu ditamatkan kerana umurnya dan risiko gempa bumi di rantau ini, tetapi kerajaan menegaskan loji itu telah dinaik taraf untuk memenuhi keperluan keselamatan dan alam sekitar yang paling tinggi. “Kebenaran baru-baru ini menunjukkan bahawa tidak ada risiko keselamatan yang berkaitan dengan operasi loji itu,” kata Menteri Alam Sekitar, Uros Brezan. – AFP