Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Pasukan Sekolah Menengah (SM) Lambak Kiri muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Kluster III bagi kategori bawah 18 tahun di Kompleks Sukan SM Pengiran Anak Puteri Masna di Kampung Sungai Akar di sini.
Kejayaan itu muncul pada masa tambahan separuh masa kedua ketika menentang Pasukan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan setelah terikat jaringan sama 1-1 pada masa penuh perlawanan.
Kemenangan itu telah meletakkan Pasukan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan di tempat kedua diikuti oleh Pasukan SM Sayyidina Umar Al-Khattab di tempat ketiga.
Terlebih dahulu, pertemuan antara Pasukan SM Sayyidina Umar Al-Khattab menentang Pasukan SM Sayyidina Abu Bakar telah berjaya menewaskan pasukan itu dengan jaringan 1-0.

Sementara itu, pada peringkat awal, Pasukan SM Lambak Kiri beroleh kemenangan percuma ke atas Pasukan Sekolah Antarabangsa Brunei sebelum menumpaskan Pasukan SM Sayyidina Abu Bakar pada perlawanan separuh akhir pada 24 Julai yang lalu.
Manakala Pasukan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan pula mencatatkan kemenangan ke atas pasukan tuan rumah SM Berakas sebelum menghampakan Pasukan SM Sayyidina Umar Al-Khattab di peringkat separuh akhir.
Hadir bagi menyaksikan perlawanan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemain ialah Pengetua Sekolah Menengah Berakas, Alexander Bandang.
Manakala hadiah bagi pemain terbaik kejohanan telah disampaikan kepada kapten Pasukan SM Lambak Kiri, Awang Mohd Noorhaswan Aiman bin Noorhassan.