Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Sekolah Menengah Menglait, Gadong mengadakan Program Hari Keluarga Sempena Sambutan Jubli Delima kelmarin di kawasan sekolah, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-40 penubuhannya.
Program dirasmikan oleh pengetua sekolah, Pengiran Hajah Norhasima binti Pengiran Haji Hassan di Menglait Square sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti berkonsepkan kekeluargaan, keselamatan dan kesejahteraan.
Antara pengisian utama ialah Simulasi Keselamatan dalam Kecemasan yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat yang merangkumi tatacara menyelamat diri semasa kebakaran, penggunaan alat pemadam api mudah alih dan kaedah evakuasi bangunan secara teratur, serta simulasi panggilan kecemasan melibatkan anggota bomba bersama fire marshal sekolah.
Sukaneka keluarga turut berlangsung melibatkan empat acara iaitu Adu Bola Guna Kon, Lumba Membawa Bola Ping Pong Guna Sudu, Isi Air Dalam Botol dan Tarik Kalat yang disertai penuntut, guru dan ibu bapa.
Serentak itu, jerayawara Dewan Bahasa dan Pustaka bertempat di Bilik Mawar serta jerayawara Jabatan Perhutanan di Dewan Melati turut diadakan. Sesi Jabatan Perhutanan bertajuk Isu Konflik Manusia dan Buaya di Negara Brunei Darussalam” memberikan pendedahan berkaitan pemuliharaan ekosistem.
Acara tersebut juga menyaksikan Pertandingan Karaoke Lagu-lagu Melayu bagi kategori penuntut dan kategori guru/ibu bapa, bertujuan memupuk minat terhadap lagu-lagu Melayu dan menonjolkan bakat warga sekolah.
Di samping itu, reruai promosi kesihatan dianjurkan oleh jawatankuasa kesihatan sekolah bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan pemakanan seimbang, kebersihan dan gaya hidup sihat melalui pameran serta sesi penilaian asas kesihatan.
Program turut menampilkan Reruai Jualan MIB dan Commerce, yang mengetengahkan kuih-muih tradisional Brunei serta memberi pengalaman keusahawanan kepada penuntut.
Acara ditutup dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah pada jam 12 tengah hari.
Program Hari Keluarga ini dihasratkan dapat mengukuhkan silaturahim selain meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan, kesihatan dan nilai kebersamaan dalam kalangan warga sekolah.
Semua di atas: Antara suasana semasa acara berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN SM MENGLAIT
