Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Sekolah Menengah (SM) Pengiran Anak Puteri (PAP) Hajah Masna merangkul pingat gangsa Kategori B, Kejohanan Bola Jaring Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Kluster 3, 2018 setelah menewaskan SM Sayyidina Umar Al-Khattab.
Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga itu, yang berlangsung di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, SM PAP Hajah Masna mendahului 3-0 di suku masa pertama, kemudian menambah satu jaringan di suku masa kedua untuk kedudukan 4-0.
Pada suku masa ketiga SM PAP Hajah Masna berjaya menjaringkan satu gol lagi sementara SM Sayyidina Umar Al-Khattab buat pertama kalinya beroleh memasukkan bola ke jaring bagi kedudukan 5-1.
Namun pada suku masa keempat dan terakhir, SM PAP Hajah Masna menukar gaya permainannya sehingga berjaya menambah empat gol lagi, sekali gus menamatkan perlawanan dengan kedudukan 9-1.
Sementara itu, dua perlawanan peringkat separuh akhir dalam Kategori C turut diadakan kelmarin.
Separuh akhir pertama menyaksikan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) mudah menewaskan SM Sayyidina Abu Bakar dengan jaringan 30-1, manakala SM PAP Hajah Masna mencatat kemenangan 23-2 ke atas SM Lambak Kiri di separuh akhir kedua.
Sehubungan dengan itu, kedua-dua pasukan yang menang dalam peringkat separuh itu itua akan berentap di perlawanan akhir esok, sementara dua pasukan yang tewas akan bersaing bagi merebut pingat gangsa.