Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SM Rimba raih pingat emas

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Sebanyak empat pasukan bertarung untuk merebut gelaran juara dalam Kejohanan Unified Bocce Sekolah-sekolah Menengah (SM) Senegara Kali ke-3 yang berlangsung di Dewan Bina Diri, Pusat Pembangunan Belia, hari ini.

    Majlis penutup disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

    Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dari Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Khas dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, para pemimpin sekolah, guru-guru serta wakil dari Pusat Pembangunan Belia, Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) dan Persatuan Volunteer and First Aid Support Team (V-FAST) Brunei.

    Perlawanan dimulakan dengan aksi akhir empat pasukan sebelum diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan hadiah. SM Rimba muncul juara dengan pingat emas, piala pusingan serta piala kemenangan Unified Bocce.

    Tempat kedua disandang oleh SM Sayyidina Umar Al-Khattab yang menerima pingat perak, manakala SM Sultan Sharif Ali dan SM Pehin Datu Seri Maharaja berkongsi tempat ketiga dengan pingat gangsa.

    Pengiran Dr Mohammad Iskandar menyampaikan piala kepada juara kejohanan Pasukan Sekolah Menengah Rimba. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Hadiah saguhati turut disampaikan oleh Pengiran Dr Mohammad Iskandar, yang juga menyerahkan piala kepada Awang Luqman Hakeem bin Abdullah dari SM Sayyidina Umar Al-Khattab sebagai pemain terbaik keseluruhan kejohanan.

    Kejohanan itu yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan SOBD, bermula kelmarin dan berakhir hari ini. Sebanyak 27 buah sekolah menengah kerajaan serta sebuah sekolah menengah swasta menyertai kejohanan tersebut.

    Setiap pasukan terdiri daripada lima orang ahli, iaitu empat pelajar berkeperluan khas dan seorang tenaga pengajar Program Pra-Vokasional. Secara keseluruhan, seramai 140 peserta menyertai kejohanan tersebut.

    Kejohanan itu bertujuan mewujudkan minat dan mencungkil bakat pelajar berkeperluan khas dalam sukan bocce dan sukan lain secara umum. Selain itu, ia juga menjadi platform untuk memupuk persahabatan serta memahami nilai kepelbagaian dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda