Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    SM RIPAS adakan Doa Kesyukuran Jubli Emas

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 9 Okt – Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS), Tutong, baru-baru ini, juga telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang juga diselajurkan dengan Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Majlis diadakan di Surau SM RIPAS itu diungkayahkan bersama oleh Jabatan Sains dan Jabatan Pengetahuan Ugama Islam.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengetua SM RIPAS, Hajah Amal Nuriyah binti Haji Ahmad Kumpoh bersama timbalan-timbalan pengetua, guru-guru dan para pelajar Tahun 7, 9 dan 10.

    Majlis dimulakan dengan Solat Sunat Hajat yang diimamkan oleh salah seorang guru, Awang Adnan bin Haji Taha dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Salawat, Surah Al-Mulk dan Surah Al-Waqiah beramai-ramai yang diketuai oleh salah seorang guru sekolah berkenaan, Awang Ashadi bin Haji Kassim.

    Pengetua SM RIPAS turut hadir di Majlis Doa Kesyukuran.

    Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan bacaan doa khusus sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta oleh Awang Adnan dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri pula dibacakan oleh Awang Jullaihi bin Masri.

    Adapun majlis tersebut diadakan adalah bagi merafakkan syukur rakyat ke hadrat Allah S.W.T di atas kejayaan sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta di samping melimpahi usia dan kesihatan Baginda Raja Isteri.

    Dengan adanya majlis berkenaan, ia akan dapat memupuk perasaan cinta pelajar-pelajar dan guru-guru terhadap Sultan dan kerabat diraja yang lain di samping dapat memupuk sikap patriotik mencintai raja sebagai amalan kehidupan berfalsafah Melayu Islam Beraja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda