TUTONG, 21 NOV – Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS) telah menganjurkan Program Hari Kesedaran Tentang Individu Berkeperluan Khas 2025 bertempat di dewan sekolah baru-baru ini.
Program anjuran Guru Homeroom Kelas Permata (Pre-Vokasional/Keperluan Khas) itu dikendalikan oleh Cikgu Mazlien bin Maikal selaku ketua penyelaras dan Cikgu Nurtasha binti Yahya sebagai penolong penyelaras.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang cabaran serta kelebihan pelajar berkeperluan khas, selain memupuk rasa empati dan menghargai kepelbagaian dalam kalangan warga SM RIPAS, khususnya para pelajar.
Turut hadir dalam program ini ialah wakil penceramah, jemputan serta vendor dari KACA, wakil dari Pusat Bahagia, para guru SM RIPAS serta pelajar Tahun 7 hingga Tahun 10.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh pelajar berkeperluan khas Tahun 8, Mohammad Farish Syahmi bin Mohammad Fahmi dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh pengetua sekolah, Cikgu Haajh Adimah binti Haji Mohd Said.
Seterusnya, taklimat oleh Guru Homeroom Kelas Permata memberikan penerangan mengenai beberapa jenis keperluan khas yang terdapat dalam kalangan pelajar sekolah, termasuk cara terbaik untuk memberikan sokongan dalam proses pembelajaran harian. Dalam sesi ini, Cikgu Mazlien turut berinteraksi bersama para pelajar melalui aktiviti pemanasan badan, menjadikan suasana lebih ceria dan bertenaga.
Program diteruskan dengan taklimat daripada Pengarah Urusan Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA), Haji Awang Abdul Halim bin Haji Awang Othman, yang berkongsi panduan mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh KACA serta langkah praktikal untuk membantu perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.
Turut menyampaikan taklimat ialah wakil dari Pusat Bahagia dan Pemangku Pegawai Pembangunan Masyarakat & Pemangku Ketua Guru Ugama Pusat Bahagia Brunei Muara, Haji Nuurmatiin bin Haji Abu Bakar. Beliau mempersembahkan pelbagai aktiviti kemahiran hidup yang dijalankan di pusat tersebut, termasuk seni kraf dan latihan pertanian, yang menjadi sebahagian daripada usaha mempersiapkan pelatih untuk kehidupan berdikari.
Program diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada para penceramah jemputan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai individu berkeperluan khas.
Program Hari Kesedaran ini bukan sahaja memberi maklumat berguna kepada pelajar dan guru, tetapi turut memperkukuh usaha SM RIPAS dalam mewujudkan komuniti sekolah yang inklusif, prihatin, dan memahami perbezaan setiap individu.






