Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    SM RIPAS raikan pelajar cemerlang

    TUTONG, 13 JUN – Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS) telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi meraikan pencapaian pelajar cemerlang dalam peperiksaan BC GCE Peringkat O, IGCSE dan BTEC sesi tahun 2024, kelmarin.

    Majlis dihadiri oleh Penghulu Mukim Kiudang, Tutong, Haji Khairulizam bin Haji Jefrey selaku tetamu kehormat. Turut hadir para jemputan khas; wakil Kluster 4, Awang Abdullah Sani bin Haji Imran; ahli-ahli PIBG SM RIPAS; serta para pengetua dan guru-guru besar sekolah tadahan Kluster 5.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Muhammad Zulhaziq bin Omarali, pelajar dari SM RIPAS.

    Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua SM RIPAS, Hajah Adimah binti Haji Mohd Said, yang merakamkan penghargaan atas usaha gigih para pelajar, serta pengorbanan dan dedikasi guru-guru.

    Seterusnya, penghargaan juga ditujukan kepada para ibu bapa dan penjaga yang merupakan antara pendorong kepada kejayaan akademik pelajar yang cemerlang.

    Tetamu kehormat menyampaikan plak dan sijil Anugerah Kecemerlangan akademik sesi tahun 2024. – GAMBAR SERAHAN SM RIPAS
    GAMBAR SERAHAN SM RIPAS
    Gambar 42 orang pelajar penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi peperiksaan BC GCE O Level dan IGCSE sesi tahun 2024 bersama Tetamu Kehormat Majlis, Pengetua SM RIPAS, Timbalan-Timbalan Pengetua SM RIPAS serta para jemputan khas Kluster 4 dan Kluster 5. – GAMBAR SERAHAN SM RIPAS

    Beberapa kategori anugerah telah disampaikan, termasuk Anugerah Pelajar Cemerlang Akademik BC GCE Peringkat O dan IGCSE Tahun 2024, Anugerah Pelajar Terbaik dalam Subjek BC GCE Peringkat O dan IGCSE Tahun 2024, Anugerah Pelajar Progresif Tahun 2024, Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2024, Anugerah Pelajar Contoh Tahun 2024 dan Anugerah Guru Subjek Yang Mencapai Sasaran Nasional Tahun 2024.

    Seramai 42 pelajar menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi peperiksaan BC GCE Peringkat O dan IGCSE yang memperolehi antara lima hingga sembilan kredit. Sementara itu, 20 pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik Subjek dan 16 pelajar menerima sijil penghargaan atas pencapaian dalam kursus BTEC bagi sesi tahun 2023 dan 2024.

    Antara penerima anugerah utama ialah Dayang Norazneyfah binti Mohamad Azri yang dinobatkan sebagai pelajar cemerlang keseluruhan bagi peperiksaan BC GCE Peringkat O dan IGCSE sesi tahun 2024. Manakala Amelda Pong Fui Tzen diumumkan sebagai Pelajar Contoh SMRIPAS sesi tahun 2024.

    Majlis turut menyampaikan penghargaan sijil kepada guru-guru yang telah mengajar Subjek BC GCE Peringkat O, IGSCE dan BTEC sesi tahun 2024 atas jasa dan sumbangan mereka.

    Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada wakil pelajar serta persembahan khas oleh 42 pelajar penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi peperiksaan BC GCE Peringkat O dan IGCSE sesi tahun 2024.

    Majlis tersebut bukan sahaja menjadi penghargaan kepada para pelajar, malah turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga SM RIPAS untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan akademik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda