BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Bagi mengeratkan hubungan persahabatan dan perpaduan di antara pelajar Negara Brunei Darussalam dan Hong Kong, Sekolah Menengah (SM) Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah menerima lawatan para pelajar dan guru-guru dari Lok Sin Tong Leung Chik Wai Memorial School, Hong Kong, kelmarin.
Dalam lawatan itu, penerangan ringkas mengenai SM RIPAS telah disampaikan oleh pengetua sekolah berkenaan, Hajah Amal Nuriyah binti Kumpoh serta penyelenggara acara, Gerard Drew. Manakala penerangan ringkas mengenai Lok Sin Tong Leung Chik Wai Memorial School disampaikan oleh naib pengetua sekolah berkenaan, Lok Wing Yi.
Selain itu, beberapa pelajar terpilih dari SM RIPAS juga telah mengambil peluang untuk menunjukkan kumpulan pelawat ke bilik-bilik darjah pelajar dari Tahun 7 hingga 11. Pelajar dan guru-guru yang melawat juga dapat melihat hasil kerja sekolah yang disediakan untuk Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan juga berpeluang menjamu beberapa makanan tempatan yang lazat. Lawatan itu diteruskan lagi dengan persembahan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di dewan Sekolah berkenaan, di mana kedua-dua sekolah telah menyediakan persembahan masing-masing.

Di akhir acara, Hajah Amal Nuriyah menyampaikan foto bingkai peringatan majlis berkenaan kepada pelajar dan kakitangan Lok Sin Tong Leung Chik Wai Memorial School.
Mengulas mengenai acara lawatan tersebut, Gerard Drew menyatakan: “Lawatan ini memberi peluang yang baik kepada pelajar-pelajar kami di SM RIPAS untuk mengamalkan Bahasa Inggeris mereka dan mengambil bahagian dalam pertukaran budaya dan pendidikan antarabangsa dengan rakan-rakan seperjuangan antarabangsa mereka. Ia adalah satu pengalaman yang menarik dan memuaskan untuk semua pelajar dan guru yang terlibat.”