Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh SM Sayyidina Hasan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Seramai 189 orang pelajar yang baru telah mendaftar di Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Hasan dan dialu-alukan pada Majlis Pendaftaran dan Orientasi bagi Tahun 7 2018 yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.
Pengetua SM Sayyidina Hasan, Dayang Haryani binti Haji Mohammad dalam ucapannya di majlis itu telah mengongsikan beberapa perkara untuk diambil perhatian oleh ibu bapa dan penjaga para pelajar bagi memastikan anak-anak mereka akan beroleh kejayaan yang diharapkan oleh semua pihak, bukan sahaja dari segi akademik dan bahkan lebih penting daripada segi sahsiah dan akhlak pelajar-pelajar.
Beliau menyeru bahawa pengawasan ibu bapa dan penjaga dalam memantau pembelajaran anak mereka ketika berada di rumah adalah sangat penting, selain daripada usaha guru-guru dan pihak sekolah dalam menyediakan prasarana dan suasana pembelajaran yang selesa serta proses pengajaran yang berkualiti agar para pelajar dapat mengikuti pembelajaran yang berkualiti bagi menghasilkan keputusan yang cemerlang nanti.
“Segala program akademik yang dirancang memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan penjaga bagi memastikan objektif program tercapai.
Pihak sekolah juga memohon kerjasama ibu bapa dan penjaga dalam memupuk budaya membaca di rumah bagi mendukung program membaca yang dijalankan di sekolah.”
Menurutnya lagi, penguasaan kemahiran dalam literasi dan numerasi yang baik adalah salah satu penyumbang utama kepada kejayaan para pelajar
“Kemahiran Abad ke-21 (21st Century Skills) seperti kemahiran dalam ICT, berkomunikasi, kreativiti, sosial (perhubungan) adalah antara perkara-perkara yang dititikberatkan pada zaman globalisasi ini tanpa membelakangkan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja dalam mempersiapkan anak-anak kitani untuk menceburi alam pekerjaan dan menghadapi cabaran-cabaran hidup pada masa akan datang,” ujarnya.
Semua ini, tambahnya lagi, bertujuan untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi serta mencapai taraf hidup yang tinggi dan berkualiti.
Dayang Haryani turut menyeru sokongan ibu bapa dan penjaga dalam memastikan anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah setiap hari persekolahan, yang menurutnya juga sangat penting bagi memastikan mereka akan mengikuti pembelajaran sepenuhnya sebelum menduduki ujian dan peperiksaan.
Turut hadir di majlis orientasi yang diadakan selama dua hari itu ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Haji Mohd Ali bin Haji Zainal; Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini; Pengurus Operasi SM Sayyidina Hasan, Dayang Kamisah binti Haji Puasa; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Haji Mat Yassin bin Haji Apong serta jemputan yang hadir.