BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Dalam membuat persediaan bagi peperiksaan Peringkat O yang akan datang, Unit Kaunseling Sekolah Menengah Sayyidina Husain telah menganjurkan ceramah motivasi untuk para pelajar Tahun 11 di dewan serba guna sekolah itu, baru-baru ini.
Ia juga sebagai sebahagian daripada inisiatif sekolah yang tidak berkesudahan dalam meningkatkan prestasi pelajar baik dalam akademik dan bukan akademik.
Turut hadir semasa motivasi tersebut ialah Pemangku Pengetua, Dayang Nor’izzah binti Haji Othman; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Zulidi bin Haji Mahali dan Timbalan Pengetua Akademik, Sia Ai Kim, murid-murid Tahun 11, ibu bapa, kaunselor dan guru-guru.
Ceramah bertajuk Berani Berubah untuk Mencapai Matlamat telah disampaikan oleh penceramah jemputan dan pakar motivasi iaitu Presiden PEKA Brunei Darussalam, Awang Diny bin Haji Karim.
Beliau berkata perubahan diri adalah penting dalam mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat untuk pelajar.
Tambahnya, ibu bapa perlu meluangkan masa yang lebih berkualiti bersama anak-anak, mengenali dan memahami mereka dengan lebih baik, jangan sekali-kali membandingkan antara anak-anak mereka dan mengajar dengan adab dalam yang diajarkan dalam Islam serta membimbing mereka ke jalan yang betul. Beliau turut menasihati pelajar supaya menghormati dan mentaati ibu bapa dengan setinggi-tingginya.
Antara objektif ceramah motivasi itu adalah untuk mengeratkan silaturahim antara guru dan ibu bapa pelajar khususnya kepada mereka yang terlibat dalam program berkenaan. Ia juga bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang keperluan pembangunan akhlak dan sahsiah anak-anak berlandaskan Islam melalui aktiviti yang dijalankan sepanjang bengkel tersebut.
Selain itu, ia juga diadakan untuk meningkatkan kemahiran dalam merangsang kanak-kanak untuk datang ke sekolah dan meningkatkan minat belajar dan meningkatkan kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa sebagai pemangkin dan penyokong kepada pelajar untuk hadir ke sekolah dan seterusnya meningkatkan pencapaian pembelajaran anak-anak mereka.
Pihak sekolah berharap melalui ceramah motivasi ini, murid-murid dan ibu bapa dapat bekerjasama dalam mencapai matlamat dan kejayaan dalam hidup di samping memperbaiki dan mengeratkan ikatan dan sokongan keluarga.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P6-C_06072023.jpg)