BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Sekolah Menengah (SM) Sufri Bolkiah telah mengadakan majlis graduasi bagi 6 pelajar PEARSON BTEC Hospitaliti Tahap 2 dan 3 pelajar kohort Program Pra-Vokasional (2021-2025), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Superintenden 3, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia.
Turut hadir ialah timbalan pengetua akademik, timbalan pengetua pentadbiran, pegawai-pegawai dari JSS, pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Khas dan Ketua Pusat Bahagia Tutong, serta guru-guru Program PEARSON BTEC dan Program Pra-Vokasional dari lima buah sekolah menengah kerajaan di Daerah Tutong.
Semasa majlis tersebut, Pengetua SM Sufri Bolkiah, Dayang Krestina binti Haji Daud, turut menyampaikan ucapan alu-aluan.
Semasa majlis tersebut, tetamu kehormat telah menyampaikan sijil graduasi kepada enam pelajar PEARSON BTEC Hospitaliti Tahap 2 dan tiga pelajar Program Pra-Vokasional. Beliau juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan mewarna dan pertandingan membaca surah-surah lazim bagi pelajar Program Pra-Vokasional.
Tetamu kehormat turut menyampaikan sijil penghargaan kepada guru-guru mata pelajaran bagi Program PEARSON BTEC dan Program Pra-Vokasional. Sijil penghargaan dari Syarikat Sabli Food Industries Sdn Bhd juga disampaikan kepada tiga guru yang terlibat dalam aktiviti pembungkusan rempah di sekolah, iaitu projek kolaborasi antara Syarikat Sabli Food Industries Sdn Bhd dan JSS, Kementerian Pendidikan yang dilaksanakan di sekolah tersebut sejak tahun 2017.
Di akhir majlis, Dayang Krestina menyampaikan cenderamata penghargaan kepada tetamu kehormat, dan majlis diikuti dengan lawatan ke pameran yang mempamerkan hasil kerja pelajar.


