BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Seramai 37 orang pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Sultan Hassan, Temburong telah diraikan atas pencapaian akademik mereka dalam Majlis Penyampaian Anugerah Akademik Tahunan sekolah bagi BC GCE O Level dan IGCSE untuk tahun 2024.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Dr Andree Asmara bin Haji Abidin.
Semasa majlis tersebut, Pengetua SM Sultan Hassan Awang Helmy bin Haji Abdul Rahman, menyampaikan ucapan beliau, diikuti dengan ucapan yang disampaikan oleh Awang Muhammad Wafri bin Zulhari, wakil pelajar bagi kohort 2024.
Dalam majlis tersebut, lima kategori anugerah masing-masing disampaikan kepada para pelajar oleh pengetua, timbalan pengetua akademik dan timbalan pengetua pentadbiran.
Bagi Kategori Lima hingga Enam Kredit, anugerah disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Ziad bin Haji Kula.
Manakala Timbalan Pengetua Akademik, Vivian Leong Hui Vun menyampaikan anugerah Kategori Tujuh Kredit dan ke atas.
Sementara itu, Awang Helmy menyampaikan anugerah bagi Kategori Pelajar Terbaik Mengikut Mata Pelajaran dan Kategori Pelajar Terbaik Mencapai A* dalam Combined Science dan Mathematics D masing-masing kepada dua orang pelajar. Dr Andree Asmara pula menyampaikan anugerah bagi Kategori Pelajar 5 Lima Teratas.
Dr Andree Asmara juga menyampaikan anugerah bagi Kategori Pencapaian Guru Individu Terbaik kepada sembilan orang guru serta Kategori Anugerah Impak Tiga Tahun kepada empat orang guru.
Pada akhir majlis, Awang Helmy menyampaikan Anugerah Pengetua yang berprestij kepada Dayang Nur Syahirah Amani binti Muhammad Nur Ariffin, sebagai pengiktirafan pencapaian akademik cemerlang beliau dan penglibatan aktif dalam aktiviti kurikulum di dalam sekolah dan luar sekolah.