Oleh Salawati Haji Yahya –
TUTONG, 1 FEB – Sekolah Menengah (SM) Tanjong Maya, Tutong telah meraikan pelajar dari Tahun 7 hingga 10 (2023) atas pencapaian cemerlang dalam akademik dan aktiviti kokurikulum sepanjang tahun 2023 dalam Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Hadiah yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.
Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada pelajar yang diraikan ialah Pengetua SM Tanjong Maya, Awang Eddy Nazrin bin Haji Seruji.
Terdahulu itu, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Eddy Fadzullah bin Haji Jasni.
Majlis ini antara lain bertujuan bagi memberikan galakan para pelajar untuk lebih bersemangat dan fokus dalam pembelajaran, di samping aktif dalam kegiatan aktiviti kokurikulum.
Di majlis itu turut menyaksikan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada guru-guru yang terlibat dalam Program School Improvement Plan (SIP) tahun 2023 yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua (Akademik), Dayang Zurinam binti Haji Sulaiman.
Manakala penyampaian hadiah berserta sijil bagi aktiviti kokurikulum telah disampaikan oleh Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Dayang Nazifah binti Haji Nawang.
Majlis juga diserikan dengan tayangan video imbasan di sepanjang tahun 2023 dan dengan adanya majlis seumpama ini, ia akan menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus mengejar, meningkatkan serta mengekalkan prestasi yang cemerlang.