Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan firma keselamatan IT tempatan, ITPSS Sdn Bhd baru-baru ini telah menganjurkan pertandingan keselamatan siber Capture The Flag (CTF) untuk pelajar-pelajar.
Ia menyaksikan penyertaan empat sekolah iaitu ISB, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB), Sekolah St John dan Sekolah Menengah Chung Hua (CHMS), Kuala Belait.
Pertandingan yang berlangsung di ISB itu melibatkan seramai 28 peserta yang dibahagikan kepada pasukan yang terdiri daripada dua hingga tiga ahli. Para peserta terdiri daripada pelajar berumur antara 14 hingga 17 tahun, dan kini berada di Tahun 9 hingga 12.
Ia menguji keupayaan pelajar untuk menyelesaikan cabaran gaya Jeopardy dalam bidang seperti pengaturcaraan, forensik digital, kecerdasan sumber terbuka dan kriptografi.
Pertandingan CTF keselamatan komputer melibatkan menyembunyikan ‘bendera’ dalam program atau tapak web yang sengaja terdedah.


Mereka yang berjaya menemui bendera tersembunyi itu, akan membolehkan pasukan menyerahkannya untuk mendapat markah dan mengumpul mata.
Your Local Quacks, sebuah pasukan yang mewakili SM YSHHB muncul sebagai pemenang dengan markah yang mengagumkan iaitu 1,375 mata.
Menyusuli rapat ialah French Revolution dari ISB di kedudukan kedua dengan 1,275 mata, manakala itu, Y11 CHMS dari CHMS Kuala Belait mencatat 1,025 mata yang meletakkan mereka di tempat ketiga.
Acara tersebut merupakan CTF kedua yang dianjurkan oleh ISB dan ITPSS untuk pelajar-pelajar. Kerjasama itu bertujuan untuk memupuk persaingan sihat dalam kalangan para pelajar dan memberikan mereka pengalaman keselamatan siber yang realistik dan mencabar.
Dengan mengambil bahagian dalam acara tersebut, para pelajar dapat mengembangkan dan memperhalusi kemahiran mereka, menyediakan pentas untuk kejayaan masa depan mereka dalam bidang keselamatan siber yang berkembang pesat.
ITPSS akan mengadakan pertandingan Cyber Battle CTF tahunannya yang ke-8 pada September depan, dengan penyertaan terbuka kepada orang ramai.

