BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – SMARTER Brunei telah menghasilkan dua kelompok 165 penutup mulut dan hidung berlainan saiz dan 55 extender atas tajaan seorang hamba Allah, untuk diagih-agihkan kepada pelajar-pelajar sekolah Arab dan agama dalam menyokong Program Infak Tarbiah Khas COVID-19 Persekolahan Arab dan Agama.
Penutup mulut dan hidung serta extender berkenaan telah diserahkan oleh SMARTER Brunei bagi pihak penderma kepada Pegawai Pendidikan di Jabatan Pengajian Islam, Haji Sufri bin Amit yang merupakan salah seorang pegawai Sekretariat Program Infak Tarbiah berkenaan.
Kelompok pertama sumbangan berkenaan adalah bagi Sekolah Arab Belait manakala itu, kelompok kedua diserahkan kepada jabatan berkenaan untuk menentukannya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penutup mulut dan hidung berkenaan dihasilkan oleh warga SMARTER Brunei sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mereka untuk mengumpul dana bagi menyokong individu-individu autisme terutamanya semasa krisis ini.
Orang ramai yang berhasrat untuk membeli penutup mulut dan hidung serta extender boleh menghubungi SMARTER Brunei.
