Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Sebanyak $93,840.97 hasil daripada inisiatif Kempen Kutipan Dana IBTE 2024 telah disumbangkan kepada Tabung IBTE dan badan-badan amal berdaftar di Negara Brunei Darussalam, iaitu An-Nur Harapan Sdn Bhd dan SMARTER Brunei pada majlis penyerahan sumbangan derma yang diadakan di The Longhouse Training Restaurant & Cafe, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 70 peratus yang disalurkan dalam Tabung IBTE bertujuan memperkukuh pelbagai program pendidikan dan latihan teknikal manakala 30 peratus lagi disumbangkan kepada An-Nur Harapan dan SMARTER Brunei.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Dalam ucapan, Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli berkata kempen tersebut merupakan satu inisiatif tahunan bertujuan untuk mengumpul sumbangan bagi memperkukuhkan dana IBTE. Usaha itu untuk meningkatkan keupayaan IBTE dalam menyediakan pendidikan dan latihan teknikal yang berkualiti, di samping memastikan kebajikan dan keselesaan pelajar-pelajar IBTE terjamin.
Sebagai sebahagian daripada kempen, IBTE turut menganjurkan acara walkaton pada 30 Jun 2024 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, yang menarik penyertaan lebih daripada 2,000 peserta.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen IBTE terhadap usaha murni membangunkan masyarakat dan memperkasakan belia melalui pendidikan, latihan dan sokongan berterusan kepada golongan memerlukan.
An-Nur Harapan dan SMARTER Brunei merupakan organisasi yang aktif menjalankan program pembangunan kemahiran untuk kanak-kanak dan belia kelainan upaya.
Usaha tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran sosial dan peribadi mereka, sekali gus mempersiapkan mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih berdikari.