Saturday, March 1, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    SMARTER Brunei terima sumbangan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Dalam usaha memperkukuh nilai kesukarelawan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membantu golongan memerlukan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Perundangan Islam telah mengungkayahkan program dinamakan Anakku GINIS untuk Persatuan SMARTER Brunei, cawangan Mata-Mata (SMARTER EDGE) sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa bertempat di SMARTER EDGE, Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Perundangan Islam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Anakku GINIS selaku wakil KHEU, Dr Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.

    Antara objektif Anakku GINIS adalah memberikan sumbangan kepada SMARTER Brunei berupa alat bantu mengajar dan peralatan pembelajaran harian bagi pelajar kanak-kanak Autisme SMARTER Brunei serta barang-barang keperluan asas sekolah dan pejabat untuk mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa dan efektif.

    Sehubungan itu, majlis penyerahan peralatan dan barang-barangan turut diadakan semasa program tersebut.

    Hadir menerima sumbangan berkenaan bagi pihak SMARTER BRUNEI ialah Ketua Pegawai Eksekutif selaku Naib Presiden SMARTER, Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah.

    Sumbangan yang diberikan adalah hasil kutipan derma kewangan daripada warga KHEU untuk membeli peralatan yang diperlukan oleh Persatuan SMARTER Brunei berbentuk peralatan asas pengajaran dan pembelajaran, alat-alat elektronik, makanan ringan bagi kanak-kanak SMARTER EDGE serta peralatan bagi membersihkan kawasan SMARTER EDGE.

    Diharap usaha tersebut dapat menjadi inspirasi dan memupuk rasa empati, keprihatinan dan pemedulian dalam kalangan masyarakat supaya lebih aktif melakukan kerja-kerja sukarelawan yang membawa faedah kepada orang awam.

    Sharifah Adila Surya menerima sumbangan daripada Dr Haji Hardifadhillah pada majlis di SMARTER EDGE, Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Dr Haji Hardifadhillah bergambar bersama salah seorang kanak-kanak SMARTER pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda