Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Restoran Emperor’s Court telah mengadakan aktiviti kebajikan iaitu Dine and Donate berupa Sungkai Amal bertempat di restoran berkenaan bermula pukul 6 petang hingga 8:30 malam kelmarin.
Menerusi acara yang telah dianjurkan buat kali kelapan oleh restoran berkenaan dengan kerjasama persatuan SMARTER Brunei, semua hasil jualan akan didermakan kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan di negara ini.
Sehubungan itu, satu majlis penyampaian sumbangan amal telah diadakan di restoran berkenaan yang mana sejumlah $5,210 disumbangkan kepada Smarter Brunei.
Dari $5,210 berkenaan sejumlah $4,210 adalah hasil daripada jualan promosi berbuka puasa dan tambahan sebanyak $1000 daripada restoran tersebut.
Menyampaikan bagi pihak restoran Emperor’s Court ialah Pengurus Restoran, Yi BiYi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Smarter, Malai Didi.