Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    SMARTER Brunei terima sumbangan Progresif

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Dalam usaha menyokong pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berdedikasi untuk membantu individu autisme, Progresif Sdn Bhd mengumumkan sumbangan lapan komputer kepada SMARTER Brunei pada majlis yang berlangsung di Pusat SMARTER EDGE, Kampung Mata-Mata, baru-baru ini.

    Dalam kenyataan yang diterima Progresif, menyatakan sumbangan komputer itu bertujuan meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dan menyediakan peluang penggunaan digital baharu untuk mereka.

    Hadir untuk menyampaikan sumbangan itu ialah Ketua IT dan Aplikasi Progresif, Awang Mohammad Fauzi bin Haji Mohd Yassin.

    “Kami sangat teruja kerana dapat menyokong kerja luar biasa yang dilakukan di SMARTER Brunei. Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan oleh itu kami berbangga untuk menyumbang agar mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangkumi semua,” kata Awang Mohammad Fauzi.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dalam ucapannya, berkata, “Sebagai sebuah syarikat, kami amat komited untuk memberikan impak positif dalam komuniti kami. Sumbangan kami kepada SMARTER Brunei mencerminkan kepercayaan kami terhadap kuasa pendidikan dan komitmen kami untuk menyokong individu autisme sebagai cara keterangkuman bagi semua. Kami berasa bangga dapat membantu SMARTER dalam menyediakan alatan digital dan menyokong matlamat organisasi untuk memperkasa dan mewujudkan suasana positif bagi pelajar autisme.

    Antara kakitangan Progresif bergambar semasa majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN PROGRESIF SDN BHD

    Memandangkan pengajaran SMARTER Brunei adalah berdasarkan pembelajaran visual dan secara langsung, sumbangan komputer tersebut membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran interaktif yang disesuaikan dengan keperluan individu di samping membolehkan mereka lebih memahami kemahiran motor dan mudah menerima pakai teknologi moden.

    Teknologi ini bukan sahaja akan menambah pengajaran dalam bilik darjah tetapi juga memperkasakan pelajar untuk membangunkan kemahiran digital yang penting bagi masa hadapan.

    “Selaras dengan wawasan 2035, matlamat SDG dan dunia yang dipacu teknologi pantas, Progresif telah memberikan kami kemajuan yang diperlukan untuk memastikan individu yang mengalami autisme kekal meningkat maju. Berpegang teguh kepada Moto SMARTER tiada siapa yang tercicir, kami berbangga dan amat berterima kasih kepada Progresif atas tajaan yang murah hati ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER Brunei, Dayang Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah.

    Berikutan kejayaan pelaksanaan penyambungan Internet di pusat itu sebagai sebahagian daripada kempen Donate Data, Progresif seterusnya berhasrat memenuhi keperluan pembelajaran digital dan dalam talian pelajar. Progresif TechCare Outreach menekankan kepentingan inisiatif tersebut dan tumpuannya untuk menyediakan sokongan teknologi kepada mereka yang memerlukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda