Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) yang menyertai Program Usahawan Muda di sekolah berkenaan sebelum ini, telah menyumbangkan 60 peratus daripada hasil jualan mereka kepada SMARTER.
Sehubungan itu, majlis penyampaian sumbangan berkenaan telah diadakan hari ini di sekolah itu di mana sumbangan disampaikan oleh Pengiran Anak ‘Abdul Muta’ali Haziq Hamidullah bin Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier kepada Pakar Terapi Kanan SMARTER, Marvin Ponce Brigoli.
Ketua Aras Tahun 6 SR YSHHB, Ngu Giong Giong berkata, hasil selebihnya daripada Program Usahawan Muda sekolah itu digunakan untuk aktiviti sekolah pelajar Tahun 6.
Beliau menjelaskan, dengan program itu, para pelajar dapat meningkatkan kemahiran daripada pelbagai aktiviti yang mereka pilih, antaranya menjual makanan dan minuman, buku-buku, pakaian, aksesori dan lainnya.
Tambahnya lagi, ia adalah satu kejayaan yang boleh dinikmati di samping mendapat hasil yang baik seterusnya dapat dikongsi dan disumbangkan kepada SMARTER Brunei.

“Dengan adanya program ini, ia akan dapat memberi kesedaran kepada pelajar seterusnya menimbulkan rasa minat dalam menjalankan perkara yang boleh membantu masyarakat,” jelasnya lagi.
Majlis diteruskan dengan Majlis Penutup Pelajar Tahun 6 sekolah berkenaan sebagai tanda berakhirnya pendidikan di peringkat rendah seterusnya berkongsi kegembiraan atas pencapaian mereka.