Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Sekolah Menengah Awang Semaun (SMAS) telah melancarkan Program SMAS Bebas Buli, bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk sikap anti-buli dalam kalangan pelajar.
Program yang diadakan di Dewan SMAS, baru-baru ini, melibatkan pelajar Tahun 7 hingga Tahun 11 sekolah dengan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Zon 1 Kampong Ayer Muhammad Azli bin Salim, bersama Penghulu Mukim Zon 2, Ketua-Ketua Kampong dan Pengetua Sekolah Menengah Awang Semaun.
Pelancaran tersebut menyaksikan menurunkan tanda tangan di kain rentang sebagai ikrar komuniti, diikuti dengan pesanan penting agar pelajar menjauhi budaya buli dan mengamalkan sikap hormat-menghormati.
Di samping itu, kata-kata nasihat juga ditulis di kain rentang sebagai menjadi tanda komitmen bersama membanteras buli di sekolah.
Program berbentuk karnival mini interaktif ini menampilkan enam stesen menarik, antaranya Sudut Minda Sihat iaitu mengadakan kuiz interaktif mengenai fakta dan jenis buli, sudut Ekspresi Empati yang menyediakan aktiviti mewarna poster dan menulis ikrar anti-buli.
Selain itu, pelaporan Buli di mana ruang ini melaporkan kes buli secara sulit dan sesi kaunseling, sudut Ikrar Komuniti pula menurunkan tanda tangan ikrar bersama pemimpin masyarakat, pameran anti buli, dan photo booth bebas buli.
Di acara itu, Pengetua Sekolah Menengah Awang Semaun Haji Mohd Fadhillah bin Haji Ismail antara lain menjelaskan, program ini bukan sahaja memberi kesedaran tentang bahaya buli, tetapi juga menggalakkan pelajar menjadi “Upstander” yang membela mangsa, bukan sekadar pemerhati.
“Dengan kerjasama Penghulu Mukim Zon 1 & 2 Kampong Ayer dan Ketua-Ketua Kampong, Sekolah Menengah Awang Semaun, berharap usaha ini dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan bebas daripada budaya buli,” jelasnya.






