Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Seramai 184 orang pelajar baharu Tahun 7 yang diterima masuk ke Sekolah Menengah Berakas (SMB) telah menghadiri sesi orientasi yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Pada sesi orientasi berkenaan, Pengetua SMB, Awang Alexander bin Bandang dalam kata alu-aluannya mengucapkan tahniah kerana diterima masuk ke sekolah berkenaan, selain memberikan kata-kata semangat agar pelajar-pelajar terus berusaha dengan gigih mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.
Beliau turut mengingatkan untuk sentiasa menjaga disiplin dan sahsiah diri seperti yang terkandung dalam visi SMB, berusaha ke arah kecemerlangan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepada ibu bapa dan penjaga supaya akan dapat memantau anak masing-masing dalam menyelesaikan kerja rumah yang diberikan oleh guru, kerana dengan itu pelajar akan berjaya dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan mereka.
“Saya pasti setiap orang tua menaruh harapan tinggi untuk kecemerlangan masa depan anak-anak,” tambahnya.
Di samping itu, beliau turut menekankan mengenai keha-diran di mana pelajar-pelajar di
kehendaki untuk hadir ke sekolah setiap hari.
Turut hadir semasa sesi orientasi itu ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Rosman bin Haji Kasah dan Timbalan Pengetua Akademik, Awang Mohd Saiful Azhar bin Haji Moksin serta ibu bapa dan penjaga pelajar.












