Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    SMB tampilkan inovasi STEAM pelajar

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Pelbagai usaha bersulam keyakinan ciptaan kreatif dan inovatif berkonsepkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) oleh golongan pelajar dan guru terus mewarnai bidang pendidikan tanah air yang sekali gus dihasratkan bagi sama-sama memperkasakan Wawasan Brunei 2035.

    Itulah antara pencapaian yang cukup membanggakan yang diketengahkan oleh Sekolah Menengah Berakas (SMB) setelah berjaya mengadakan Pameran Pertandingan STEAM SMB: Inspiring The Next Generation, sekitar penghujung November lalu.

    Acara yang berlangsung di Dewan Anggerek, SMB berkenaan telah menampilkan sebanyak 19 buah pameran berkonsepkan STEAM secara keseluruhan.

    Ia sejajar dengan usaha menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang telah diketengahkan oleh golongan pelajar SMB bersama guru pembimbing masing-masing.

    Pengetua SMB, Awang Alexandar bin Bandang dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan bahawa cetusan idea untuk mengadakan pameran berkenaan pada tahun ini adalah bagi memenuhi hasrat rakan-rakan sejawat, pemimpin-pemimpin sekolah yang berkeinginan menyaksikan dan mengetahui lebih lanjut mengenai projek-projek STEAM yang telah ketengahkan dan dipertandingkan oleh SMB semasa Anugerah CIPTA, Anugerah BICTA, Young Inventors Challenge, Energy Globe Awards, REAL Learnings, Cabaran Rekabentuk STEM dan Inovasi serta lain-lain.

    Jaket inovatif, BASS direka untuk mempertingkatkan kebebasan dan mobiliti bagi golongan istimewa yang menghadapi masalah atau cacat penglihatan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara projek yang ditampilkan oleh pelajar SMB dan guru pembimbing mereka. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pelajar SMB bersama Robot Dron yang diperkenalkan, sebagai sebahagian daripada projek Robot Explorers. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dua pelajar SMB mengetengahkan Projek Bumi yang menjelaskan proses kitar semula kertas terbuang. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    JAKET MILIKI BANTUAN KHAS DERIA PENGLIHATAN

    Salah satu projek oleh beberapa orang pelajar dan guru SMB yang dipamerkan adalah Blind Assist Sensory Suit (BASS), jaket inovatif yang direka untuk mempertingkatkan kebebasan dan mobiliti golongan istimewa yang menghadapi masalah atau cacat penglihatan.

    BASS menggunakan penderia ultrasonik dan motor bergetar (vibrating motors) untuk memberikan maklum balas dalam masa sebenar tentang halangan, membolehkan pengguna menavigasi persekitaran mereka dengan yakin.

    Ia menawarkan pemandangan persekitaran 360 darjah melalui penderia yang diletakkan secara strategik, menyediakan cara yang komprehensif dan intuitif untuk insan cacat penglihatan melihat persekitaran mereka.

    Jaket tersebut dimuatkan dengan elemen istimewa seperti kamera WiFi dengan sensor depan atas sebelah kanan dan kiri serta sensor depan bawah sebelah kanan dan kiri.

    Selain itu, ia dikuasakan oleh mikropengawal Arduino Nano dan power bank mudah alih.

    Hayat bateri berbeza-beza tetapi direka bentuk untuk bertahan sepanjang hari penggunaan.

    DRON BANTU GOLONGAN PENEROKA SUMBER ALAM

    Perlombongan adalah salah satu pekerjaan yang paling berbahaya di dunia. Selama bertahun-tahun, banyak kemalangan serius telah berlaku di pelbagai bahagian dunia, yang kebiasaannya membawa kepada kehilangan nyawa golongan pekerja.

    Oleh yang demikian, projek Robot Explorers telah diketengahkan dan salah satu teknologi yang diperkenalkan ialah Robot Dron yang secara amnya memiliki misi untuk membantu golongan peneroka sumber semula jadi dalam persekitaran yang berpotensi berbahaya seperti perlombongan.

    Dua orang pelajar Tahun 10Sci1 SMB, Awangku Amir Rauf bin Pengiran Mohd Sufri dan Awang Muhammad Adabi Waldan, menjelaskan bahawa ciptaan teknologi Robot Dron digunakan sebagai usaha untuk membantu para pelombong menyelesaikan beberapa tugas berbahaya di lapangan.

    “Misi utama robot ini adalah untuk meninjau dan meneroka lokasi yang berpotensi untuk tapak perlombongan seperti emas dan tembaga baharu di mana akses biasanya sangat sukar dicapai oleh orang ramai seperti kawasan pergunungan atau padang pasir.

    “Robot akan terbang melintasi kawasan-kawasan yang dipilih dan mendapatkan maklumat yang diperlukan berkaitan dengan geografi, ciri semula jadi dan rupa bumi,” jelas mereka.

    PERKASA PROJEK BUMI

    Ke arah misi untuk menyemai tanggungjawab menjaga alam sekitar sekali gus menyumbang kepada amalan mampan, dua pelajar Tahun 11Sci1 SMB, Awang Mohd Aiman Muiz bin Mohd Eswan dan Awangku Mohamed Hazrulhadi bin Pengiran Hasrin bersama guru pembimbing mereka telah mengetengahkan Projek Bumi, Menghuraikan lebih lanjut mengenai projek berkenaan, kedua-dua pelajar tersebut berkata, salah satu komponen penting dalam Projek Bumi berkisar pada nilai-nilai tanggungjawab pengurusan sisa dan pelupusan kertas yang betul.

    “Transformasi kertas buangan kepada produk akhir melibatkan siri proses yang sistematik dan rumit. Perjalanan ini ditandai dengan urutan langkah yang disusun dengan teliti, setiap satu menyumbang kepada penghalusan bahan mentah sehingga ia mencapai bentuk serbuk kertas halus.”

    Oleh itu, tambah mereka, antara proses untuk mengubah kertas terbuang menjadi serbuk kertas yang halus perlulah mengikuti proses-proses tertentu iaitu langkah pertama melibatkan penggunaan mesin office paper shredder yang berkualiti tinggi bagi menjadikan kertas-kertas terbuang itu menjadi kepingan kecil.

    Setelah itu, sebuah mesin paint mixer diperlukan untuk mengadun kepingan kecil kertas dengan air dan juga untuk melembutkan adunan kertas buangan tersebut.

    Pengadunan yang teliti ini penting untuk mencapai paper pulp yang konsisten dan boleh digunakan, menetapkan peringkat untuk penghalusan selanjutnya.

    Langkah ketiga, jelas mereka, ialah adunan kertas berkenaan direndam dalam air bersuhu panas yang bertujuan memadamkan dakwat daripada kertas. Setelah pembuangan dakwat selesai, proses seterusnya memerlukan penggunaan mesin ketuhar di mana ia bertujuan untuk mengeluarkan air daripada adunan kertas tersebut.

    “Langkah terakhir adunan kertas kering itu perlu dikisar menggunakan kitchen blender untuk menjadikannya kertas serbuk halus. Transformasi ini adalah penting untuk mencipta produk yang boleh digunakan semula untuk pelbagai penggunaan tertentu.

    “Serbuk ini bukan sahaja mesra alam tetapi juga berpotensi untuk pelbagai aplikasi kreatif dan praktikal seperti projek seni kraftangan dan sebagainya,” ujar mereka di akhir temu bual bersama Media Permata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda