Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Seramai 18 buah kenderaan Mercedes Benz dari Kelab Sahabat Mercedes-Benz Darussalam (SMBD) mengambil bahagian dalam aktiviti berkonvoi hari ini bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79.
Konvoi kenderaan Mercedes Benz berkenaan berkumpul di kawasan letak kereta Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di mana konvoi memulakan perjalanan menuju ke kawasan letak kereta Kompleks Dewan Kemasyarakat Tutong.
Hadir untuk menyempurnakan pelepasan peserta konvoi berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.
Terdahulu, Presiden Kelab SMBD, Haji Abdul Rahman Haji Talip dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan bahawa aktiviti konvoi berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti kelab untuk meraikan dan memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan Ke-79.
Di samping itu, beliau menyatakan harapan aktiviti berkenaan akan dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara ahli-ahli kelab.
Beliau menerangkan bahawa Kelab SMBD telah ditubuhkan pada 2021 dan menerusi kelab itu, mereka berharap untuk mengendalikan aktiviti berkebajikan serta perjumpaan pemilik-pemilik Mercedes Benz.